Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Amanah kekal bersikap terbuka sekiranya PAS 'mengubah
fikiran' dan mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mencapai prinsip satu lawan satu
pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
bagaimanapun berkata, PAS perlu memberi satu tarikh akhir dan tidak
boleh berterusan 'berdolak dalik' kerana ia menjejaskan persiapan
pembangkang menghadapi pilihan raya.
"Amanah tidak membangkang, kita bersetuju untuk membuka seluas-luasnya kepada mereka.
"Kami PH tiada percanggahan apa-apa, kami bersetuju untuk beri seluas-luasnya ruang. Hanya tunggu tempoh saja.
"Apa-apa rundingan, mesti ada tarikh yang mesti kita buat satu
keputusan. Pilihan raya boleh jadi seawal bulan 5 selepas parlimen, atau
boleh jadi bulan 6, kita tak tahu. Mesti ada 'cut-off date'," katanya
kepada Antarapos.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan, perbincangan mengenai
soal agihan kerusi perlu dibuat dengan teliti, justeru PAS diminta untuk
memberi satu kepastian bagi melicinkan proses tersebut.
"Kalau tiada cut-off date, macam mana kita nak putuskan kerusi.
Sekarang PH dan Bersatu (PPBM) sudah empat parti, kita kena muktamadkan.
Kalau PAS bersetuju, kena runding lagi dengan PAS. Dan perkara ini akan
memakan masa, kita tak boleh buat perkara ini (agih kerusi) pada
saat-saat akhir," katanya lagi.
PH dan PPBM dilaporkan akan membincangkan pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat
ini perbincangan itu melibatkan empat parti sahaja, iaitu parti-parti
dalam komponen PH, dan juga PPBM.
PH dan PPBM menandatangani perjanjian kerjasama politik pada 13
Disember lepas, yang bertujuan meletakkan satu calon mewakili gandingan
itu pada pilihan raya akan datang.
Pada awal Februari lalu, PPBM mengadakan pertemuan dengan PAS bagi
membincangkan rundingan ke arah menghadapi pilihan raya, namun sehingga
kini tiada kata putus bersabit perkara tersebut.
Dalam pada itu, Raja Kamarul berkata, terserah kepada PAS untuk
memuktamadkan keputusan sama ada mahu bersama PH dan PPBM, atau kekal
dalam blok yang lain.
"Tapi terpulang kepada mereka (PAS).
"Masalahnya, ada banyak suara yang berbeza di sebelah sana. (Datuk)
Tuan Ibrahim nampaknya nak runding, cuba berdialog dan berbincang tapi
dalam masa yang sama Presiden mereka kata (PH) tidak perlu tunggu. Kita
pun tak tahu bagaimana proses dalaman mereka," katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.