Jumaat, 27 Januari 2017

UMS didakwa permainkan usaha rundingan mahasiswa

 ARIF ATAN
 
 
Aqilah Zainuzi bersama surat untuk temu janji dengan Naib Canselor kelmarin.Aqilah Zainuzi bersama surat untuk temu janji dengan Naib Canselor kelmarin.

Aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Aqilah Zainuzi menyifatkan pentadbiran universiti itu mempermainkan usaha rundingan berhubung pertuduhan tatatertib ekoran menyertai Bersih 5, tahun lalu.

Usaha beliau dan rakannya untuk bertemu dengan Naib Canselor, Prof Dr Mohd Harun Abdullah kelmarin telah dihalang sebaliknya disaran untuk mengajukan tuntutan pengguguran pertuduhan itu kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) terlebih dahulu.

"Mahasiswa telah cuba berkompromi dengan segala sistem yang ada. Pintu rundingan juga telah dibuka sebagai menghormati pentadbiran universiti. Namun, ruang rundingan tersebut ditutup tanpa alasan yang kukuh diberikan kepada kami. Tindak tanduk yang ditonjolkan oleh pihak pentadbiran universiti seakan-akan sedang mempermainkan usaha rundingan yang kami cuba laksanakan.

"Jika ini adalah respon yang diberikan oleh pihak pentabiran tertinggi UMS, secara tidak langsung mereka memberikan desakan yang lebih kuat untuk kami bawa perkara ini di peringkat yang tertinggi. Sehingga kini, bukti sah pengharaman Bersih 5 tidak dapat pihak UMS kemukakan.

"Ini bermakna Pekeliling Khas Naib Canselor yang dikenakan ke atas kami juga tidak relevan untuk dijadikan asbab pertuduhan. UMS dilihat tidak menggunakan dan memahami konsep Keadilan Asasi dalam erti kata sebenar," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengimbas kembali detik beliau dan rakannya diarah meninggalkan perkarangan Canselori itu selepas gagal berbincang, Aqilah berkata, polis bantuan pada mulanya melarang mereka masuk sebaliknya meminta supaya tunggu di luar sehingga Naib Canselor turun untuk berurusan dengan mereka di ruang legar Canselori.

Selepas itu, jelasnya, mereka dibawa bertemu dengan Pegawai Khas Naib Canselor dan diminta agar tidak mengganggu masa Naib Canselor dengan tuntutan tersebut.

"Malah, beliau meminta untuk kami merujuk surat desakan tersebut kepada TNC HEP UMS sebelum dibawa kepada Datuk Naib Canselor. Kami menegaskan bahawa temu janji dan surat yang dibuat adalah untuk Datuk Naib Canselor, bukan untuk TNC HEP," katanya.

Melihatkan pihak UMS tidak serius untuk berunding dengan mahasiswa, beliau memberitahu desakan supaya pertuduhan tersebut ditarik semula sebelum tiba tarikh prosiding akan dibawa kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Dalam masa yang terdekat, isu ini akan kami bawa ke KPT untuk perhatian di peringkat kementerian di atas segala tindak tanduk yang dibuat oleh pihak universiti. Kami sangat serius dalam perlawanan sistem yang semakin menjerut kebebasan mahasiswa hari ini.

"Kami tidak akan berdiam diri dengan penindasan ini. Kami akan terus bangkit melawan apa jua bentuk penafian terhadap hak-hak rakyat. Pembawaan isu hingga KPT ini kami gunakan sebagai medan untuk mempertahankan hak mahasiswa beraktivisme yang saban hari dicabuli," tegasnya.

Beliau yakin reaksi pihak berautoriti yang mengancam hak mahasiswa diyakini didorong rasa gerun terhadap suara anak muda.

"Mereka menyangka hukuman yang diberikan akan dapat menutup mulut mahasiswa untuk bersuara. Namun, mahasiswa akan terus bangkit dan memastikan segala bentuk birokrasi dan ancaman kepada mahasiswa yang dibuat universiti akan gagal," tegas Aqilah lagi.

Beliau dan seorang lagi mahasiswa sekampusnya, Mukmin Nantang telah dipanggil untuk prosiding tatatertib melalui surat bertarikh 16 Januari lalu atas tuduhan terlibat dalam Bersih 5 di Taman Ujana Rimba Tropika, Kota Kinabalu pada 19 November tahun lalu.

Mereka turut diberitahu dikenakan tindakan disiplin mengikut Kaedah 3 (a) (ii) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.