Rabu, 25 Januari 2017

Skandal BMF: Laporan lain kata saya tak terlibat, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata beliau digambarkan sebagai seorang yang jahat ketika memegang jawatan itu dan dituduh melakukan perkara yang tidak dilakukannya.


mahathir-CIA


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dalam responsnya mengenai kertas siasatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, berkata “laporan lain” yang menyiasat skandal BMF menunjukkan beliau tidak terbabit dalam hal itu.

Semalam, The Asian Correspondent melaporkan dokumen rasmi yang dikeluarkan badan risikan AS itu mempertikaikan respons pentadbiran Dr Mahathir dalam mengendalikan skandal BMF, hingga menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 billion.

“Ada laporan lain melangkaui CIA yang menyatakan saya tidak terlibat. Akhbar luar negara menyerang saya kerana saya tidak berhenti mengkritik mereka bila mereka buat salah, jadi mereka memburukkan saya,” katanya, menambah beliau dituduh melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya.

Ketika ditanya adakah beliau mencadangkan segala dilaporkan CIA tidak benar, Dr Mahathir berkata: “Perkara ini berlaku terlalu lama pada 1981 hingga 1984, kenapa bangkitkan semula sekarang? Bolehkah anda betulkan apa-apa yang saya buat dulu.”

“Tujuannya ialah politik, mungkin ada orang yang akan terima manfaat daripada ini. Ada laporan lain yang berbeza dengan laporan CIA. Baca laporan itu juga,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan – pengkritik lantang Dr Mahathir – berkata banyak cerita mengenai skandal BMF sudah pun dilaporkan.

Katanya, kini dokumen CIA sudah dikeluarkan secara umum, semua orang boleh membuat kesimpulan sendiri.

“Kita akan tunggu dan lihat. kami akan melihat dokumen itu dan jika ada soalan yang perlu ditanya, maka mereka perlu pergi pada Dr Mahathir,” kata Rahman.

Skandal BMF menggemparkan pada awal 1980-an, selepas ia mendedahkan cawangan banknya di Hong Kong menyediakan “pinjaman tidak lancar” kepada beberapa syarikat yang mencurigakan, termasuk Carrian Holdings Ltd, konglomerat diterajui George Tan.

Ratusan juta dolar hilang sekelip mata apabila kumpulan Carrian terkubur pada 1983, menjadi kebankrapan paling teruk di Hong Kong.

Seorang juruaudit Bank Bumiputera yang menyiasat skandal itu dibunuh, dan kerajaan membawa masuk berbilion ringgit untuk membantu Bank Bumiputera.

Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal itu tetapi berakhir tanpa sebarang pendakwaan. Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman hidup dalam buangan sehingga kematiannya di London pada 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.