KEYAKINAN PAS akan kembali memerintah adalah berpaksikan kepada keimanan bahawa Allah berjanji memberikan pemerintahan kepada sesiapa dikehendaki-Nya dan setiap sesuatu pasti ada ajalnya. Umno tidak perlu terus meletakkan diri dalam dosa keangkuhan seolah-olah akan kekal berkuasa selamanya.
Keyakinan itu pernah dibuktikan apabila BN Kedah yang bertakhta lebih 50 tahun ditumbangkan pada PRU 2008 dahulu. Walaupun sepenggal PAS memerintah dalam tanpa bantuan sewajarnya dari Kerajaan Persekutuan, tetapi telah membekas kesejahteraan untuk rakyat dan kemajuan negeri.
Pembangunan Kampus Tetap KUIN, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD), Aman Central, Hotel Adya, pemberian kafalah dan lain-lain terzahir untuk kepentingan rakyat, bahkan dibangga, ditiru dan diteruskan sebahagiannya oleh BN biarpun seketika. Namun, Kerajaan BN Kedah bukan sahaja gagal melangsungkan lainnya, malah hampir menghancurkannya.
Jangan lupa, pemerintahan BN nyaris menjual KUIN, menyerah rangkaian Maktab Mahmud kebanggaan Kedah kepada Kerajaan Persekutuan dan gagal meneruskan pembinaan MTSD di Pulau Tuba, Langkawi. Lebih teruk, apabila banyak pembangunan digariskan dalam manifesto BN pada PRU lalu belum ada mampu dilaksanakan.
Menunjukkan BN Kedah bukan sahaja lemah dan gagal, tetapi juga menipu serta hanya pandai menabur janji manis yang terus diulang selama empat tahun ini. Hakikatnya, kosong dari kejayaan hingga terpaksa mengumumkan pencapaian yang penuh sandiwara, syok sendiri dan penyedap halwa telinga, sedangkan rakyat masih kekal terhimpit oleh politik BN.
Sekadar berbangga dengan bantuan-bantuan diberikan menunjukkan Pemuda Umno gagal memahami antara tanggungjawab dan hak. Kini menyerang PAS kerana ingin menutup kelemahan sendiri dalaman Umno-BN yang berebut dan tamakkan kuasa, walhal kepentingan rakyat diabaikan.
Ketika sama menyerlah budaya ampu bodek yang wujud dalam kalangan Pemuda Umno hingga terpaksa menyolek wajah secantik mungkin dan itu terbukti dengan menyerang mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga berasal dari Umno. Malah, membayangkan kegusaran, keterdesakan dan rasa terancam Umno Kedah.
Hakikatnya, PAS tidak mempergunakan Mukhriz dan tiada keperluan untuk itu. Tetapi ia satu dari pelbagai kerjasama politik dengan BERSATU dalam menyemarakkan lagi gelombang rakyat ke arah memastikan BN dapat dijatuhkan pada PRU akan datang. Jika Umno-BN berasa kuat, tidak perlu cemas, berpencak sahaja digelanggang sama.
* USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT-Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.