KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang
cedera dibelasah sekumpulan lelaki di kondominium Puncak Anthenaneum,
Bukit Antarabangsa pada 14 Januari lepas tidak melaporkan kejadian itu
kepada pihak polis kerana telah diugut.
Mangsa
Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, berkata beliau bimbang akan keselamatan diri
memandangkan kumpulan lelaki itu dipercayai gangster dan berbahaya.
“Selepas kejadian itu, pihak syarikat telah dihubungi oleh individu terbabit agar tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Menurut
pengurus saya, kumpulan lelaki terbabit merupakan ‘gangster’ besar dan
ia akan membahayakan keselamatan saya sekiranya membuat keputusan yang
salah,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman bagi memberi
sokongan terhadap Nasrul Faiz di sebuah stesen minyak di Sungai Besi di
sini, hari ini.
Menceritakan
kembali detik hitam itu, Nasrul Faiz berkata beliau mengakui yang
tindakannya itu salah namun tidak menyangka akan diperlakukan sedemikian
rupa.
Katanya, kereta berkenaan berada dekat dengan lori yang dipandunya dan dia sendiri tidak menyedari kereta itu berada di situ.
“Hanya kerana nombor (plat) kenderaan patah, saya dipukul sehingga menerima 13 jahitan di leher.
“Keadaan
berlaku dengan pantas, apabila salah seorang daripada kumpulan lelaki
itu menarik saya sebelum rakannya datang menyepak saya di kepala
sehingga saya jatuh,” katanya.
Perhimpunan
yang disertai lebih 200 pemandu lori anjuran Pertubuhan Ikatan Usahawan
Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) itu dilakukan bagi mendesak polis
mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan lelaki yang membelasah
Nasrul Faiz hingga cedera.
Presiden
IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah, berkata perbuatan ganas dan tidak
berperikemanusian seperti itu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja dan
tindakan tegas harus diambil.
“Saya
difahamkan polis sudah melakukan beberapa tangkapan berhubung kes ini
dan saya berharap mereka tidak terlepas daripada tindakan
undang-undang,” katanya.
Perhimpunan selama satu jam bermula jam 11 pagi itu berakhir tanpa sebarang kekacauan.
Semalam,
Ketua Polis Daerah Ampang ACP Hamzah Alias berkata polis telah merakam
percakapan 15 individu bagi membantu siasatan kes itu dan telah
menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kondominium
itu ke makmal untuk dianalisis.
Setakat ini, seorang lelaki berusia 32 tahun direman empat hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.