Isnin, 23 Januari 2017

PAN Serang PAS, Tuduh Blok Ketiga Bertaraf Sampah !

 
 
 
salahuddin

 Parti Amanah Negara (PAN) meningkatkan serangan terhadap PAS dengan menuduh blok ketiga yakni Gagasan Sejahtera bertaraf sampah.


Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan menegaskan, mengundi blok ketiga Gagasan Sejahtera seumpama membuang undi ke tong sampah kerana ia tidak mampu mendapatkan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Rakyat pula menganggap blok ke-3 adalah seperti calon bebas yang tidak mampu untuk membuat perubahan kepada tampuk pemerintahan negara. Mengundi blok ke-3 adalah umpama membuang undi ke tong sampah sahaja kerana ia tidak mampu untuk memberikan satu kuasa yang ampuh untuk mendapatkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor portal portal pro PAN, Malaysia Dateline.

Gagasan Sejahtera adalah gabungan politik blok ketiga yang diketuai PAS dengan kerjasama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Pemimpin PAS ketika ini menolak secara total Amanah dan DAP, sementara pengikut parti itu di peringkat bawahan menolak UMNO sehingga sebilangan mereka masih berpegang dengan pandangan lama yang ekstrem terhadap UMNO.

“Kedua-dua pandangan pemimpin serta pengikut PAS ini menyebabkan mereka terpaksa mencipta blok ke-3 dengan strategi “king maker” yang mencorakkan pendekatan yang tidak berpendirian,” katanya.

Menurut Sany, PAS terpaksa bergantung kepada ‘pengundi keliru’ iaitu pengundi yang kurang terdedah dengan perkembangan politik dan menganggap bahawa PAS masih lagi pembangkang yang bernaluri pembangkang, sedangkan parti itu sudah berubah 180 darjah.

Bagaimanapun katanya, pengundi keliru ini dijangka akan berkurangan menjelang PRU14 apabila Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat penerangan ke seluruh negara tentang peri pentingnya menggundi pakatan pembangkang demi menyelamatkan negara.

“Pengundi-pengundi yang dahulunya keliru akan mengambil sikap menolak Pas setelah mereka mendapat penerangan dan penjelasan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub pula mendakwa blok ketiga Gagasan Sejahtera sebagai alat Barisan Nasional (BN).

“Amanah dan parti rakan dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan blok ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Salahuddin mendakwa blok ketiga Gagasan Sejahtera terhasil daripada suatu perancangan sulit dan rapi pihak yang berkenaan selepas Pakatan Harapan kian mendapat sambutan daripada rakyat.

“Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi ‘king maker’ dan kelihatan pro-BN.

“Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.