Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencadangkan, paling tidak haruslah diadakan kempen mematikan lampu di malam hari untuk beberapa minit pada tarikh ditetapkan.
Ini, kata wakil rakyat PAS itu lagi, “sebagai tanda keluhan dan keresahan masa depan rakyat dan negara yang gelap akibat rasuah yang menjijikkan”.
Bahri, yang memainkan peranan utama dalam siasatan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas tiga tahun lagi.
Bahri semalam berkata beliau meninggalkan badan itu kerana 'kecewa' dengan pengendalian kes berprofil tinggi SRC International.
Bagaimanapun, versi SPRM berkata mereka telah menghubungi Bahri yang didakwa menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Dalam kenyataan malam tadi, Mahfuz juga berkata perjuangan Bahri dalam perang menentang rasuah berprofil tinggi tidak harus berakhir dengan persaraan awalnya.
“Diharap dapat bersama memimpin rakyat untuk memerangi rasuah berprofil tinggi melalui proses demokrasi untuk menghapuskan undang-undang sarang labah-labah demi agama, bangsa dan negara.
“Ayuh Bahri! Rakyat sedang menantimu dan rakan-rakan untuk bebaskan Malaysia tanah air kita dari rasuah dan perasuah yang menjijikkan,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz juga berkata seluruh warga SPRM sewajarnya mengadakan pertemuan sokongan dan solat hajat solidariti untuk Bahri di kediaman beliau.
Sedih bercampur kagum dengan tindakan Bahri, Mahfuz berkata bekas pengarah bahagian operasi khas (BOK) itu menggambarkan betapa kes berprofil tinggi tidak lagi menjadi keutamaan dalam institusi perundangan negara ini.
Bahri memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata tidak tahu menahu wang berkenaan berasal dari SRC walaupun syarikat itu milik kementerian kewangan. Perdana menteri juga menjawat tugas sebagai menteri kewangan pertama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.