KOTA BHARU: Sebanyak 51 sekolah menengah dan kebangsaan di lima daerah
di negeri ini ditutup berikutan banjir yang melanda negeri ini.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail, berkata sehingga jam 6
petang tadi sebanyak 51 sekolah di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat,
Pasir Mas dan Bachok terbabit dijadikan pusat pemindahan sementara.
Sekolah berkenaan akan ditutup esok sehingga ke tarikh yang akan
dimaklumkan. "Daerah Pasir Mas sebanyak 19 sekolah, Kota Bharu (14),
Pasir Puteh (7), Tumpat (8) dan Bachok tiga sekolah.
"Sekolah ditutup kerana keadaan jalan yang dinaiki air dan membahayakan
nyawa pelajar dan guru. "Kami akan sentiasa membuat pemantauan dari
semasa ke semasa untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum
memaklumkan pembukaan sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi di
sini, hari ini.
Jaafar berkata, bagi sekolah yang dijadikan pusat pemindahan, pihaknya
akan meningkatkan aspek penjagaan kebersihan sekolah dan penyediaan
makanan oleh pengusaha kantin bagi mengelakkan sebarang jangkitan
penyakit.
"Tahap keselamatan di semua sekolah yang terbabit sebagai pusat pemindahan juga akan ditingkatkan," katanya.
Jaafar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sekolah yang
terputus hubungan, dinaiki air dan yang digunakan sepenuhnya bagi
menempatkan mangsa banjir, tidak akan beroperasi untuk persekolahan
sehingga banjir pulih.
"Sehingga kini sekolah yang terbabit dengan banjir akan bercuti
sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak mengikut keadaan semasa
banjir.
Kita sedang menunggu laporan terperinci daripada semua Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) terbabit dan untuk mendapatkan jumlah terkini
sekolah yang dijadikan pusat pemindahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.