Ahad, 1 Januari 2017

2017: Selamatkan negara daripada pemimpin kleptokrat

 MALAYSIA DATELINE

Mohd Sany HamzanMohd Sany Hamzan 
ULASAN Negara sedang menghadapi bencana yang sangat kritikal terutama pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pelbagai skandal yang melanda negara masih menjadi persoalan rakyat dan mendapat perhatian seluruh dunia. Kini Malaysia dikenali sebagai negara korup yang dipimpin oleh seorang pemimpin kleptokrat.

Ekonomi negara juga semakin merudum dan kehidupan masyarakat terus menekan disebabkan kegagalan pemerintah mengamalkan sikap beramanah dalam pemerintahannya. Rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan tanpa mampu dikawal, ditambah lagi jerutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat sama ada miskin mahupun yang kaya.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (QS Ar-Ra’d [13]: 11)

Keadaan negara yang semakin tenat ini menuntut kepada perubahan rakyat secara total terutama golongan muda yang menjadi faktor serta penentu kepada kuasa pemerintahan negara.

Islam sendiri mengajar kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik dan menjatuhkan kebathilan yang berlaku.

Tidak ada cara lain selain mengubah pemerintah dengan sebuah kerajaan yang baru dari kalangan pemimpin yang beramanah dan bertanggungjawab.

Kerajaan yang ada pada hari ini sejak turun temurun telah gagal untuk membawa aspirasi rakyat dan keadaanya semakin hari semakin membimbangkan.

Kami mengajak seluruh rakyat mengambil semangat tahun baru ini dengan berazam serta beriltizam untuk membuat perubahan untuk menyelamatkan negara daripada cengkaman pemerintah yang bobrok. Letakkan azam yang membara dalam diri kita untuk melihat negara yang lebih baik.

Selamat menyambut tahun baru 2017.

*  MOHD SANY HAMZAN, Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.