Selasa, 27 Disember 2016

PRU14: Amanah mahu tanding kerusi PKR, PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Amanah mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Pengarah komunikasinya, Khalid Samad berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
 
Justeru, Amanah nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu pembahagian kerusi.
 
"Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat PH dan PPBM. Apa yang penting adalah senario politik hari ini sudah berubah. Tidak seperti 2013 (PRU13). Kita tidak boleh jadikan tahun 2013 sebagai asas untuk pembahagian kerusi. Kita alu-alukan kenyataan PKR yang menyatakan kesediaan mereka serahkan kerusi kepada PPBM, kerana ia bersandarkan politik semasa hari ini.
 
"Kita sudah kenalpasti 40 kerusi parlimen yang kita berhasrat untuk tandingi. Kita akan bincang dalam mesyuarat. Ada beberapa kerusi yang ditandingi oleh PAS pada pilihan raya lepas, ada juga yang ditandingi PKR. Kita lihat dan bincang. Tetapi inilah kerusi yang kita rasa ada harapan untuk menang," katanya selepas sidang media Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, tengah hari tadi.
 
Khalid juga menggesa PAS memahami realiti politik semasa yang kini dirancakkan lagi dengan kehadiran PPBM dan Amanah, maka perbincangan mengenai pembahagian kerusi perlu dilakukan segera.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata perbincangan itu penting supaya setiap parti politik pembangkang ada kekuatan sehingga membolehkan mereka menerajui setiap negeri.
 
"Ada cadangan untuk kita patut mendepani PRU14 ini dengan mengenalpasti negeri-negeri yang setiap parti boleh terajui. Contohnya PKR di Selangor dan Perak, DAP di Pulau Pinang dan mungkin Negeri Sembilan.
 
"PPBM mungkin di Kedah dan Pahang, Amanah di Johor, manakala PAS di Kelantan atau Terengganu. Jika PAS mahu setuju dengan formula ini kita akan beri mereka terajui Kelantan dan Terengganu. Maka itulah pentingnya untuk duduk dan berbincang," tegasnya lagi.
 
Amanah sejak awal lagi mencanang akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi PAS, meskipun parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertegas akan tetap mempertahankan kesemua kerusi tradisinya.
 
Selain Hadi, timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang hanya akan dicapai jika tiada mana-mana parti pembangkang mengusik kerusi tradisi miliknya, terutama Amanah.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.