KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal tiba tidak lama
lagi, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Menguatkan lagi kenyataan beliau itu, Najib berkata Perhimpunan Agung
Umno 2016 di sini adalah untuk para perwakilan menerima amanat dan
pesanan sebagai persiapan bertempur di medan juang PRU14.
Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang bakal berakhir pada Jun 2018.
Walaupun tidak menyatakan bila pilihan raya itu akan diadakan, perdana
menteri berkata PRU14 akan menjadi penentu sama ada keindukan kerajaan
pimpinan Umno dikekalkan atau rakyat memilih kerajaan baharu yang
diterajui DAP.
"Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal
melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya
kepada Umno, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak
cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka," katanya ketika
menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2016.
Najib berkata kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan
Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan menyuntik
semangat kejayaan besar BN pada PRU14 nanti.
Dalam ucapan dasar yang disampaikan secara berterus-terang dan matang
itu, Najib yang bercakap sebagai seorang Melayu, seorang Islam, seorang
bumiputera dan seorang anak Malaysia, telah membakar semangat para
anggota Umno untuk bersiap sedia meraih kemenangan BN pada PRU14.
Perhimpunan Agung Umno 2016 dihadiri 2,643 perwakilan dari 191 bahagian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.