Ahad, 25 Disember 2016

Peruntukan BR1M kepada rakyat cuma 14 peratus dari jumlah kutipan GST



Roketkini.com

IPOH: Benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu meringankan beban hidup rakyat yang meningkat angkara pelaksanaan cukai GST?

Menyangkal persoalan itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata BR1M cumalah satu kaedah dilaksanakan UMNO Barisan Nasional bagi mengaburi mata rakyat, terutama apabila isu kos hidup rakyat miskin kerap dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

“BR1M tidak dapat mengatasi peningkatan beban hidup disebabkan GST.

“Sebilangan besar rakyat berpendapatan rendah kurang menyedari bahawa jumlah kutipan cukai GST adalah jauh lebih besar berbanding pemberian BR1M,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Batu Gajah itu, hasil kutipan GST bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion, manakala anggaran kutipan GST bagi tahun 2016 berjumlah RM38.5 bilion.

Sebaliknya, pemberian BR1M hanya melibatkan peruntukan sebanyak RM5.4 bilion bagi kedua-dua tahun tersebut.

“Oleh itu, dianggarkan hanya lebih kurang 14 peratus daripada GST dipulangkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui BR1M pada tahun ini.

“Selebihnya iaitu 86 peratus daripada kutipan GST menjadi pendapatan tambahan kepada kerajaan. Saya melihat ini sebagai satu penindasan terhadap golongan miskin dengan penuh licik sekali,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.