SHAH ALAM : PAS mengalu-alukan perkembangan positif proses gencatan
senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya melihat
keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu
dihentikan segera.
“Kesejahteraan rakyat awam perlu dikembalikan segera, dan pada masa
yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan
ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat
kritikal ini.
“Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini
dapat dipertahankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa
yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk
mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga
kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.
“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini
diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.
“Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran
mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan
seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.
"Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di
kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan
kepentingan mereka,” katanya lagi.
Tambah Abdul Hadi, apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka
baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi
berdarah ini berlaku dapat disiasat seterusnya diambil langkah
sewajarnya.
Turki dan Rusia bersetuju dengan gencatan senjata untuk seluruh wilayah yang dilanda konflik bermula 28 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.