Sabtu, 31 Disember 2016

Pakatan sulit: Bekas ahli DAP beri amaran kepada Tun M

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Zulkifli Mohd Noor hari ini memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berhati-hati sebelum membuat sebarang perjanjian sulit bersama Lim Kit Siang.
 
Ini kerana ujarnya, DAP sebelum ini pernah mengeluarkan Deklarasi Setapak DAP 1967 yang didakwa boleh menggugat keharmonian antara kaum.
 
Beliau turut mempersoalkan mantan perdana menteri itu apakah beliau sedar kewujudan deklarasi berkenaan sebelum memeterai perjanjian sulit dengan parti yang pernah dituduhnya sebagai rasis.
 
"Perjanjian sulit patut diumumkan. Tak perlu sulit. Sebab kita pun mahu tahu perjanjian tersebut, apakah Dr Mahathir biasa membaca Deklarasi Setapak?
 
"Deklarasi berkenaan dibuat pada 1967, berkenaan apa itu DAP, apakah perjuangannya. Deklarasi ini sepatutnya dibaca oleh Dr Mahathir. Jika beliau sebagai PM selama 22 tahun dan terlepas pandang siapa itu DAP dan perjuangan pemimpinnya, jika beliau baca kandungannya mungkin Dr Mahathir akan insaf. Bahawa sokongan yang diberikannya terhadap DAP akan memudaratkan negara," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Deklarasi Setapak itu menyebut bahawa DAP mahu 'memperbetulkan' prinsip pembangunan negara dalam sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dengan mengelakkan berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti.
 
Ia juga menyebut bahawa usaha berkenaan perlu ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.
 
Dasar yang diambil DAP menerusi Deklarasi Setapak itu bertentangan dengan salah satu Wasiat Raja-raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang menjamin hak dan keistimewaan kaum Melayu.
 
Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas pendedahan yang dibuat bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada semalam bahawa wujudnya pakatan sulit antara Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Pakatan yang dimeterai 3 Disember lalu menetapkan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kit Siang.
 
DAP hanya jaga kepentingan parti
 
Tunku Aziz juga mendakwa tindakan Kit Siang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara hanyalah satu cubaan 'political red herring' (politik mengalih tumpuan). 
 
Ini kerana, katanya, Kit Siang percaya pengundi Melayu tidak akan mengundi pakatan pembangkang jika mengetahui pemimpin itu berhasrat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri.
 
"Di sebalik tabir (pendedahan) Tunku Aziz itu mungkin ada kebenarannya. Dan perjanjian sulit sebegini amat berbahaya kepada rakyat kerana ia akan berlaku, dikotakan selepas PRU14, dan akan mendatangkan kejutan kepada rakyat," ulas Zulkifli lagi.
 
Mengaitkan Deklarasi Setapak dalam dakwaan pakatan itu juga, Zulkifli yang juga bekas naib presiden DAP berkata Kit Siang akan menggunakan apa sahaja cara dalam 'menghalalkan' matlamat politik peribadinya dan parti secara keseluruhan.
 
"Kit Siang cuba naik 'tangga' untuk mencapai Deklarasi Setapak.
 
"Kit Siang dahulu menggunakan orang Melayu DAP. Selepas Melayu DAP terkubur, beliau menggunakan Anwar, selepas beliau masuk penjara dan masuk penjara sekali lagi, Kit Siang cuba menggunakan Dr Mahathir pula," ujarnya.
 
Tunku Abdul Aziz juga yakin pakatan sulit ini tidak disedari pemimpin pembangkang yang lain termasuk Wan Azizah, Muhyiddin dan pimpinan Parti Amanah Negara.
 
Katanya, beliau yakin pendedahan ini akan mewujudkan pergolakan dalam kalangan pimpinan pakatan pembangkang kerana mustahil perancangan itu dapat diterima secara konsensus dalam kalangan mereka.
 
Walau bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, Kit Siang menafikan wujudnya pakatan sulit berkenaan.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.