PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak boleh menyaman media kerana memfitnah
atas kedudukan rasmi beliau.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Rohana Yusuf membenarkan
rayuan Perkasa dan dua media arus perdana mengenai saman Lim berkaitan
kenyataan Perkasa yang didakwanya membayangkan bahawa beliau adalah
'ejen Singapura'.
Rohana berkata, panel itu membuat keputusan berkenaan kerana berpegang
dengan keputusannya dalam kes Utusan Melayu (M) Bhd. lwn Menteri Besar
Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa pegawai awam tidak boleh menyaman
media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi masing-masing.
Katanya, mahkamah menerima prinsip yang diputuskan dalam satu kes
undang-undang Britain, Derbyshire County Council lwn The Times
Newspapers Ltd & Others (1993), yang menyebut bahawa pihak berkuasa
tempatan tidak boleh mengambil tindakan berkaitan memfitnah atas
kedudukan rasminya.
"Mengenai isu prinsip undang-undang dalam keputusan kami dahulu (Utusan
lwn Adnan), setelah menimbang rayuan yang dikemukakan, kami berpendapat
bahawa kes Utusan lwn Adnan terpakai dalam kes ini," kata Rohana, yang
bersidang bersama-sama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Datuk Mary
Lim.
Panel itu membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal yang
ditimbulkan perayu bahawa kes itu sama dengan kes Utusan lwn Adnan.
Panel yang sama juga membuat keputusan dalam kes Utusan lwn Adnan pada 1
Mac tahun ini. Adnan menyaman Utusan Melayu berhubung penyiaran sebuah
artikel dalam Mingguan Malaysia pada 9 November tahun lepas.
Dalam kes hari ini, perayu terdiri daripada Ketua Penerangan Perkasa,
Ruslan Kassim; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa, bekas
Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Syed Nazri Syed Harun dan
The New Straits Times Press (M) Sdn. Bhd. serta Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M)
Berhad.
Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Mac 2015, yang
membenarkan saman Guan Eng terhadap mereka serta memerintahkan mereka
membayar ganti rugi berjumlah RM550,000 setelah mendapati kenyataan
berkenaan berbaur fitnah terhadap Guan Eng.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Ruslan, Ibrahim dan Perkasa membayar
RM150,000 sebagai ganti rugi am dan teruk; Syed Nazri dan NSTP membayar
RM200,000; dan Abdul Aziz serta Utusan Melayu membayar RM200,000 sebagai
ganti rugi am dan teruk.
Bagaimanapun, kata Rohana, setelah mendengar hujah mengenai merit dalam
rayuan berkenaan dan setelah membaca hujah bertulis daripada kedua-dua
pihak, mahkamah mendapati empat isu utama yang ditimbulkan defendan
(perayu) sebagai asas rayuan, tidak mempunyai sebarang merit.
"Kami bersetuju dengan penemuan fakta oleh hakim perbicaraan di
Mahkamah Tinggi dan oleh itu, tiada alasan bagi kami untuk campur tangan
dalam dapatan beliau tentang fakta bahawa dakwaan memfitnah itu tidak
dapat dipertahankan. Oleh itu, kami mengesahkan dapatan hakim Mahkamah
Tinggi tentang liabiliti defendan (perayu) terhadap beliau (Guan Eng),"
katanya.
Mengenai jumlah ganti rugi, Rohana berkata, hakim Mahkamah Tinggi itu
terkhilaf apabila mengambil kira ganti rugi teruk ketika menentukan
jumlah keseluruhannya sedangkan ganti rugi itu tidak pernah diperakui
dalam saman berkenaan.
"Setelah mengambil kira fakta kes dan setelah membuat pertimbangan,
kami berpendapat bahawa ganti rugi sewajarnya adalah seperti berikut,"
katanya.
Beliau kemudian mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM550,000 kepada RM150,000.
Pada 11 Mei 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap tujuh
defendan berkenaan dengan mendakwa bahawa Ruslan menyiarkan kenyataan di
laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang meminta ahli
perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan tentang
pertemuannya dengan Datuk Seri Kalimullah Hassan dan seorang pemimpin
kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011.
Guan Eng mendakwa, kenyataan itu membayangkan bahawa beliau
membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara ini
kepada Singapura dan oleh itu, menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti
rugi khas sebanyak RM15 juta, serta faedah, kos dan relif lain yang
dianggap wajar oleh mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.