Khamis, 1 Disember 2016

Jangan lantik pengkhianat pegang jawatan kerajaan, kata perwakilan Melaka

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Umno hari ini mengingatkan pimpinan tertinggi agar tidak mengulangi 'sejarah' dengan melantik individu tertentu 'yang diragui kesetiaanya kepada parti' ke dalam jawatan penting dalam kerajaan.
 
Perwakilan Melaka, Mustafa Musa berkata, tindakan sedemikian akhirnya hanya akan memakan diri Umno kemudian hari.     
 
"Sebahagian dari ahli Umno perangainya seperti Tun (Mahathir), khianat kepada parti. Sebab itu, kalau ada jawatan, jangan bagi kepada peloncat parti. 
 
"Kerana itu hanya melepaskan anjing tersepit. Bagi dia jawatan senator, bagi apa saja.. bila dah tak dapat, dia gigit tangan Umno balik. Ini manusia munafik.
 
"Kita lantik orang luar yang setahun jagung setampuk pinang. Dia pengkhianat paling durjana, kita sumpah menjadi gunung," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, petang tadi.
 
Bagaimanapun Mustafa tidak menamakan mana-mana pemimpin secara spesifik. 
 
Umum mengetahui, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bertindak keluar Umno dan menubuhkan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kononnya kerana kecewa dengan parti Melayu tertua serta bermatlamatkan untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Parti serpihan itu turut disertai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Turut mengumumkan penyertaan ke dalam PPBM adalah bekas Senator Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor pada Oktober lalu.
 
Ezam adalah bekas Ketua Pemuda PKR yang menyertai Umno pada 2008, yang kemudian dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2010. 
 
Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan sebelum mengumumkan untuk menyertai PPBM.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.