Selasa, 27 Disember 2016

Azizah enggan janji PKR beri kerusi pada PPBM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pimpinan tertinggi PKR hari ini enggan memberi komitmen untuk menyerahkan kerusi tradisi miliknya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi membolehkan ia bertanding pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14).
 
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR mahupun Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga hubungan sesama parti komponen yang lain dalam isu pembahagian kerusi membabitkan PPBM.
 
"Kita runding dulu, PPBM masih parti baru. Kita ada rakan lama," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
 
Minggu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaan partinya untuk menyerahkan kerusi kepada PPBM, selepas termeterainya muafakat politik antara parti itu dan PH.
 
Ujarnya 'kekuatan' PKR pada hari ini adalah disebabkan kesediaan rakan-rakan pembangkang pada suatu ketika dahulu menyerahkan kerusi kepada mereka.
 
Reaksi menteri besar Selangor itu menyusul selepas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakan-rakan pembangkang memberi kerusi untuk partinya untuk bertanding dalam PRU14 nanti.
 
Muhyiddin juga berkata, perjanjian PPBM dengan PH akan menjadi sia-sia, jika tiada kerusi diberikan kepada mereka untuk bertanding kelak.
 
Pada sidang media yang sama, Wan Azizah juga ditanya sama ada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang menjadi perdana menteri walaupun bekas ketua pembangkang itu masih menjalani hukuman penjara.
 
Anwar dihukum penjara selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
 
"Mengapa (cakap) tidak? Jangan sesekali kata tidak," katanya.
 
Azizah kemudiannya menyamakan Anwar dengan mendiang Nelson Mandela yang menjadi presiden Afrika Selatan selepas 27 tahun meringkuk dalam penjara.
 
"Mandela jadi presiden..." katanya sambil menambah pembangkang akan membincangkan calon perdana menteri sementara.
 
14 Disember lalu, Anwar gagal mengenepikan permohonan semakan sabitan dan hukuman kes liwatnya apabila ia ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
 
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
 
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
 
Dalam sebutan keputusan peraturan penjara bersabit dengan kelakuan banduan bagaimanapun mungkin membolehkan Anwar dibebaskan pertengahan 2018.
 
Pasukan peguam Anwar juga dijangka menimbang kemungkinan mengemukakan rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.