Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Anina Saadudin mengugut untuk menggunakan 'kunci' yang ada padanya
untuk menghancurkan pihak yang cuba menjatuhkannya.
"Kepada mereka yang begitu ghairah bermain dengan kehidupan seorang ibu
kepada 3 srikandi hidup saya ini, saya ingin berpesan. Kuncinya ada
pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini,
ledakannya akan menghancurkan semua.
"Jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk dari apa yang
ada di sebelah sini. Saya sudah cukup baik selama ini. Saya tidak
melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan
sampah ke mulut rakyat," demikian memetik tulisan Anina di laman
Facebooknya.
Anina pada baru-baru ini terpalit dakwaan skandal seks apabila
'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara
beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar.
Bukan itu sahaja Anina juga 'dilucutkan' jawatan sebagai Ketua Srikandi
PPBM selepas dikatakan wujud 'kesilapan teknikal' dalam pelantikan itu.
Kekeliruan yang wujud terhadap skandal peribadi dan politiknya, menurut
Anina akan dijawab dalam satu sidang media sambil menunggu reaksi
pimpinan tertinggi partinya.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Anina dalam tulisannya juga
menjelaskan tidak gentar untuk berdepan dengan pihak yang cuba
menjatuhkannya.
"Jika saya berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang
berkuasa tanpa gentar, saya juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja
yang kencing perjuangan saya.
"Jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," katanya.
Anina juga berkata, beliau seperti wanita lain mahukan seorang lelaki
yang melindunginya dan bukannya mengancamnya jika sesuatu yang
diinginkannya gagal dimilikinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.