Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Amanah hanya mensasarkan kerusi milik PKR yang gagal
dimenangi pada pilihan raya lepas, jelas Pengarah Komunikasinya, Khalid
Samad.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah,
Salahuddin Ayub bahawa partinya tidak akan bertanding di mana-mana
kerusi sekutu politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
"Apa yang dijawab Salahuddin itu adalah (kerusi) yang telah dimenangi
atau diisi oleh PKR. Bermakna yang mana telah dimenangi oleh PKR kita
tidak kacau.
"Bukan kita nak ambil kerusi mereka, kita hendak bincang. Yang penting
sekarang ialah kita nak tentukan untuk menang. Kerusi yang dimana
(dirasakan) Amanah kuat, kita bincang dan banding lihat bagaimana
kekuatan untuk memenangi kerusi itu. Namun akhirnya ia akan diputuskan
secara perbincangan sesama kita," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Selasa lalu, Khalid memaklumkan partinya berhasrat untuk bertanding 40
kerusi Parlimen termasuk yang dimiliki PKR dan PAS untuk PRU14 nanti.
Ujarnya pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
Justeru, Amanah nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu
ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu
pembahagian kerusi.
Khalid kemudiannya memberitahu, Amanah tetap mensasarkan kerusi tradisi
PAS untuk diletakkan calon pada pilihan raya akan datang, memandangkan
parti itu bukanlah rakan sekutu mereka dalam PH.
"Walaupun PAS tiada dalam mesyuarat, kita akan bincang tentang
pembahagian kerusi. Jika ada yang mengatakan sesuatu kerusi itu serah
kepada PAS, kita bincangkan seperti apa baiknya kita lepas kepada PAS.
"Jika tidak mahu serah PAS kerana ia tak bersama kita maka kita fikir
siapa calon kita untuk bertanding di kerusi itu," kata Ahli Parlimen
Shah Alam itu lagi.
Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan parti
Amanah sebagai tidak amanah apabila mahu 'mencuri' kerusi rakan
sekutunya sendiri (PKR) dalam PH.
"Bukan soal nak rebut kerusi, curi kerusi sebagaimana yang Iskandar
kata. Ini soal kita mempunyai 40 kerusi, kita ada calon dan ada harapan
yang cerah untuk menang dan bawa ke mesyuarat untuk bincang. 40 kerusi
yang kita hendak tandingi ini adalah sebahagian besar daripada PAS, dan
satu atau dua daripada PKR yang mereka tak menang," ulas Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.