KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 pelajar di 33 sekolah di lima daerah di
Terengganu tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2017 esok berikutan
banjir sejak awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin
berkata daerah paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu apabila 22
sekolah iaitu 19 sekolah kebangsaan dan tiga sekolah menengah dilanda
banjir.
"Enam sekolah di Hulu Terengganu yang dilanda banjir ialah Sekolah
Kebangsaan (SK) Teris, SK Tapah, SK Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Kua
dan SMK Bukit Diman," katanya.
Sebanyak 16 sekolah lain di Hulu Terengganu pula tidak dapat beroperasi
esok kerana laluan ke sekolah ditenggelami air iaitu SK Padang Setebu,
SK Sungai Berua, SK Sungai Buloh, SK Kuala Jenderis, SK Matang, SK Lubuk
Periuk, SK Bukit Tadok, SK Nibong, SK Betong, SK Pereh, SK Felda
Tersat, SK Menerong, SK Cheting, SK Padang Setar, SMK Menering dan SMK
Kuala Jenderis.
Di Marang, SK Sentol Patah turut dilanda banjir manakala empat sekolah
lagi tidak boleh beroperasi esok kerana dijadikan pusat pemindahan untuk
mangsa banjir iaitu SK Kubu, SK Pengkalan Berangan, SK Bukit Gasing dan
SMK Merchang, katanya.
"Di daerah Kuala Terengganu pula, tiga sekolah terpaksa ditutup kerana
dinaiki air iaitu SK Kampung Bukit di Chendering, SK Undang dan SK
Padang Midin.
"Di daerah Setiu, dua sekolah ditutup esok iaitu SMK Langkap yang
dijadikan pusat pemindahan banjir dan SK Merbau Menyusut kerana dinaiki
air manakala sebuah sekolah di Dungun yang dinaiki air ialah SK Seri
Paka," katanya.
Sehubungan itu, Shafruddin meminta ibu bapa supaya lebih prihatin
dengan perkembangan terbaharu banjir dan mendapatkan maklumat mengenai
keadaan sekolah anak mereka.
"Sekolah hanya beroperasi semula apabila banjir reda dan keadaan pulih seperti biasa," katanya.
Terengganu mengalami hujan setiap hari sejak minggu lepas dan semakin lebat mulai Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.