Setakat ini parti tidak ada ada membincangkan sebarang tindakan terhadap bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO juga tidak ada menyatakan apa-apa mengenai Ahmad Husni.
"Setakat ini.. tidak ada sebarang tindakan daripada UMNO, PM pun tak cakap apa-apa," ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua penerangan parti dan sayap UMNO di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada UMNO ada membincangkan sebarang tindakan terhadap Ahmad Husni selepas Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kerajaan berkaitan isu 1MDB di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ditanya mengenai Ahmad Husni yang diiringi pembangkang semasa memberi keterangan di balai polis, Annuar Musa secara sinis mengucapkan terima kasih kepada mereka.
"Terima kasihlah kerana mengiringi ahli parlimen dari BN. Nanti selalulah iring kami," seloroh Ahli Parlimen Ketereh itu.
Ahmad Husni juga merupakan bekas Bendahari UMNO itu bertindak meletakkan jawatan sebagai menteri dan ibupejabat UMNO selepas rombakan kabinet baru-baru ini.
Beliau juga menafikan dakwaan pembangkang yang mendakwa ahli parlimen mempunyai 100 peratus kekebalan di Dewan Rakyat dan boleh bercakap apa sahaja.
"Sebenarnya tidak. Ahli parlimen sebenarnya kekebalan terhad terhadap sesuatu perkara kerahsiaan seperti kalau menyentuh kedudukan Yang Dipertuan Agong dan suruhanjaya-suruhanjaya dibawahnya..tak boleh sewenang-wenangnya," ujarnya lagi.
Apa yang berlaku kepada Ahmad Husni apabila ada pihak membuat laporan polis dan beliau dipanggil bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, katanya, bukan sahaja Ahmad Husni malah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dibenarkan bercakap dan menyentuh pelbagai perkara di Dewan Rakyat.
Ia bukti sikap tolak ansur kerajaan termasuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Sekarang biar polis siasat dan proses itu kena berjalan dan jangan hina tugas polis," tegasnya sambil menyelar sikap pembangkang yang padanya pandai pandai sendiri menuduh, mendakwa dan menjatuhkan hukuman kepada dan akhirnya disaman dimahkamah seperti kes Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Sementara itu, mengenai pendedahan George Soros terlibat dalam pembiayaian beberapa aktiviti menentang kerajaan, Annuar berkata, akhirnya ada bukti mengenainya selepas empat tahun didedahkan aktivis UMNO, Datuk Lokman Adam.
"Ia jadi perkara serius, beberapa tahun lalu ada personaliti buat telahan yang sama cuma tidak ada bukti.
Empat tahun lalu Lokman buat dakwaan dan baru kini ada bukti mengenainya. Ia perlu dipandang serius kerana melibatkan campur tangan asing yang banyak membuat pecaturan untuk menaikkan dan menurunkan pemimpin di sesebuah negara," katanya.
Justeru, kebimbangan seperti itu punca UMNO mahu satu akta digubal berkaitan sumbangan dana politik tetapi ditentang oleh parti pembangkang.
Mengenai dakwaan pemimpin UMNO masih dalam zon selesa berbanding pembangkang yang bekerja kuat memenangi pilihanraya umum, Annuar menganggap sebagai satu wake up call kepada parti.
"Saya pandang positif dakwaan itu walaupun berharap ia tidak benar. Jika kita masih berlenggang sahaja kita akan terima akibatnya (kalah pilihanraya)," katanya.--MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.