Jumaat, 18 November 2016

Tangkapan pra-BERSIH5 hanya tambah kemarahan rakyat

Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
Hari ini telah berlaku siri tindakan keras yang mengancam demokrasi negara kita.

Ia bermula pagi tadi dengan pendakwaan pengarah KiniTV, Steven Gan, kerana membuat laporan berita ucapan DatUK Seri Khairuddin Abu Hassan mengenai peguam negara.

Ini diikuti penangkapan anggota parlimen Seremban, Anthony Loke, difahamkan kerana ucapan beliau di Konvensyen Pakatan Harapan minggu lalu; dan juga serbuan ke atas pejabat BERSIH 2.0 serta penahanan Maria Chin Abdullah dan Mandeep Singh.

Saya mengecam sepenuhnya siri tindakan keras ini.

Ia menimbulkan persepsi seolah-olah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi memahami semangat demokrasi, tetapi seakan terpaksa menggunakan taktik kuku besi seperti tangkapan-tangkapan yang kita saksikan sekarang demi kepentingan politik kelompok kecil.

Pada masa yang sama, sekiranya ada pihak beranggapan bahawa tangkapan-tangkapan dan tindakan keras terkini ini akan mematahkan semangat juang dan menakutkan orang ramai dari menyertai perhimpunan aman BERSIH5, ia hanya menambahkan rasa marah rakyat.

Ayuh kita bersatu hati, kumpulkan tenaga. Esok, kita turun untuk BERSIH5 dan ingatkan Putrajaya bahawa suara rakyat suara keramat!



DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL ketua pembangkang Parlimen Malaysia merangkap presiden PKR.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.