Isnin, 28 November 2016

PAU 2016: Puteri Bukan 'Pencari Tumpuan', Tapi Ada Gaya Tersendiri

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN


 


PETALING JAYA: Pergerakan Puteri Umno ada ‘gaya tersendiri’ dan tidak turun berbahas di pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) hanya untuk mendapat tepukan atau sorakan gemuruh seisi dewan, kata Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ketua Puteri itu berkata, pembahas-pembahas Puteri tidak semestinya perlu berhujah dengan ‘berapi-api’ untuk mencuri tumpuan, sedangkan isi kandungannya tidak seberapa atau sekadar retorik semata-mata.

“Kadang-kadang berapi-api itu retorik semata-mata. Kita lihat apa yang telah Puteri perjuangkan, kita tidak terikut-ikut dengan cara orang lain, tak perlu.

“Kita ada ‘style’, ada cara dan ikut rentak yang kita perjuangkan, yang penting apa yang ingin kita bawa dan isi kandungannya,” katanya dalam temubual khas bersama mStar Online sempena PAU 2016, baru-baru ini.

Pemimpin sayap paling muda dalam Umno ini berkata, beliau sedar setiap kali menjelangnya perhimpunan terbesar parti, ada pihak yang memandang Puteri 'sebelah mata', selain melihat perbahasan atau usul yang dibawa sebagai membosankan.

“Kenapa perlu dilihat pada bosan? Bosan itu apa maksudnya, kerana terlalu kering idea, atau adakah kerana mereka tak bercakap sesuatu yang berkobar-kobar atau dengan semangat membara," katanya.

Beliau turut memberi beberapa contoh pemimpin, seperti Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin yang sering menyampaikan ucapan dengan gaya dan nada sederhana tetapi memberi kesan kepada audiens.


Naib Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan (depan, kiri) meniup lilin salah satu daripada 15 biji kek yang dibawa perwakilan simbolik meraikan 15 tahun kewujudan Pergerakan Puteri Umno selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Temerloh, Ogos lalu.


Bagaimanapun beliau berkata, aspek ini tetap diberi perhatian dengan mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan ahli-ahli Puteri, bukan sahaja di pentas PAU, malah di gelanggang lain.

Dalam perhimpunan kali ini, Mas Ermieyati berkata, beliau menekankan mengenai ‘politik realiti’ kepada ahli-ahli, khususnya pembahas, sambil mengharapkan persidangan kali ini akan menimbulkan suasana serius menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menambah, seperti tahun-tahun terdahulu, walaupun pembahas bebas berucap tanpa sekatan atau kekangan, mereka tetap perlu menghadiri bengkel dan diberi garis panduan supaya tidak ‘melencong’ daripada isu pokok.

“Kita beri contoh apa yang suara akar umbi patut dan tak patut bawa supaya pembahas tak melalut.

“Kadang-kadang kita tengok yang mereka kejarkan adalah untuk mendapat tepukan, sepatutnya kandungan itu yang utama, suara akar umbi yang patut diberi perhatian, bukan hanya menjadi ‘pencari tumpuan’,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan dan perkembangan Puteri selaku sayap paling muda dalam parti, timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan ini berkata, dari segi keahlian Puteri telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan 390,000 ahli.

Selain itu katanya, akses dan penerimaan Puteri di peringkat akar umbi juga jauh lebih baik berbanding awal penubuhannya, begitu juga hubungan antara Puteri dengan sayap Wanita.

“Pastinya Puteri turut sama membantu Umno dalam usaha-usaha untuk memperkasakan parti dan ini bukan tugas satu hari tapi ia memerlukan komitmen dan iltizam yang cukup kuat serta pemahaman kepada sejarah perjuangan terdahulu,” katanya.

Namun, beliau mengakui masih belum berpuas hati dengan apa yang dimiliki Puteri hari ini yang disifatkan berdepan banyak cabaran serta memerlukan ilmu politik dan kepimpinan yang secukupnya.

Katanya, walau apa pun tanggapan atau kata-kata dilemparkan terhadap Puteri, sayap ini tetap menjadi platform terbaik untuk wanita muda mengasah bakat,  potensi diri dan belajar ilmu kepimpinan serta politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.