BERNAMA
Kos menunaikan haji dijangka terus meningkat disebabkan kos
penginapan, pengangkutan, makan-minum dan lain-lain perkhidmatan turut
bertambah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.
Beliau berkata peningkatan kos haji berlaku setiap tahun dan pada
musim Haji 1437 Hijrah (H)/2016 yang baru selesai, ia sudah mencecah
RM18,890 seorang.
"Tabung Haji (TH) dengan sokongan kerajaan, masih dapat mengekalkan
bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang jemaah haji 'Muasassah' sejak
tahun 2009.
Pada musim yang lalu sahaja, jumlah keseluruhan subsidi haji yang
ditanggung oleh TH adalah melebihi RM160 juta," kata beliau dalam ucapan
di Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1437H di sini, hari ini.
Sejumlah 31 jabatan/agensi kerajaan dan swasta termasuk wakil
Kerajaan serta Kedutaan Arab Saudi telah diberikan penghargaan atas
kerjasama dan sokongan yang telah diberikan, pada majlis itu.
Jamil Khir berkata operasi pengendalian jemaah haji negara bagi musim
haji 1437H dianggap sangat baik dan berjaya mencapai objektifnya dalam
memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah hasil muafakat semua
pihak.
Beliau berkata operasi haji 1437H yang lalu telah berjalan dengan
lancar tanpa sebarang insiden besar atau buruk yang tidak diingini.
Tambah beliau, kecemerlangan TH dan Malaysia dalam pengurusan Haji
telah membuka mata ramai pihak dan mendapat perhatian negara-negara
luar.
"Senario ini memberi keyakinan kepada kita sebagai umat Islam di
Malaysia bahawa pengurusan haji yang dijalankan secara muafakat oleh
semua agensi kerajaan dan swasta pasti membuahkan kejayaan," kata
beliau.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH,
Datuk Johan Abdullah dan Setiausaha Pertama, Kedutaan Diraja Arab Saudi,
Ali Ibrahim A. Alheji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.