Jumaat, 18 November 2016

Khalid dakwa SPLASH keluar invois air lebih mahal dari perjanjian

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) mengeluarkan invois pembelian air dengan mengekalkan harga yang lebih mengikut terma perjanjian, walaupun kerajaan Pusat dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk tiada kenaikan tarif air.
 
Mantan Menteri Besar Selangor itu berkata, 'ketirisan' yang berlaku ekoran tindakan syarikat konsesi itu mengakibatkan rakyat Selangor dibebankan dengan hutang air yang tidak sepatutnya dibayar mereka. 
 
"Persetujuan (antara pusat dan negeri) itu termaktub dalam terma 'kadar perkhidmatan pukal' (bulk service rate).
 
"Saya difahamkan kerajaan Selangor, SPAN dan PAAB membiarkan kadar perkhidmatan pukal yang tinggi profit marginnya diteruskan walaupun penyusunan semula sudah dilaksanakan.
 
"Rakyat Selangor wajar mempersoalkan kenapakah kerajaan Selangor bertindak membiarkan SPLASH meraih keuntungan besar dalam akaunnya padahal kerajaan Selangor ada kuasa untuk mengubah 'kadar perkhidmatan pukal', bukan memberi keuntungan 30% atau 40% - tetapi hanya 6-8%?," katanya menerusi satu kenyataan.
 
Oleh itu menurut Khalid, tindakan PAAB dan SPAN membiarkan ketirisan sedemikian berlaku amat menimbulkan persoalan.
 
"Rakyat Selangor perlu jawapan. Saudara YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air perlu memberi penjelasan untuk menentukan tidak ada 1 bilion atau 2 bilion ataupun 3 bilion sebagai bayaran tambahan. 
 
"Ini adalah kerana bayaran ini kelak sangat memberi kesan dan membebankan rakyat Selangor dengan kenaikan tarif air," ujar ADUN Pelabuhan Kelang itu lagi.
 
Justeru Khalid menggesa amalan membiarkan 'kadar perkhidmatan pukal' diteruskan dengan kadar yang tidak berubah perlu diberhentikan serta merta.
 
Penstrukturan semula industri air Selangor masih belum bernoktah ekoran percanggahan kenyataan antara Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dan Khalid mengenai nilai tawaran untuk mengambil alih ekuiti SPLASH.
 
Azmin sebelum ini mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Khalid menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH, namun ia dinafikan Khalid.
 
Sebaliknya, Khalid menegaskan tawaran akhir yang dibuat pihaknya kepada SPLASH adalah RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.