Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan Menteri Besar
Selangor jika beliau mengutamakan kepentingan syarikat konsesi air lebih
daripada hak rakyat, beliau akan dilihat 'bekerja' untuk syarikat
berkenaan.
"Kita hendak perjuangkan rakyat Selangor. Jika kita beria-ia
mempertahankan (syarikat) konsesi kena dapat duit lebih, bermakna kita
bekerja dengan konsesi, bukan rakyat Selangor.
"Adakah itu yang hendak digambarkan? Janji kita adalah untuk jaga
rakyat," ujar mantan Menteri Besar yang juga ADUN Pelabuhan Klang itu.
Dalam wawancara eksklusif dengan Antarapos, Abdul Khalid mengakui
beliau sangat sensitif apabila membicarakan penyusunan semula industri
air di Selangor yang masih belum selesai.
'Rasa terkilan' itu semakin memuncak apabila Datuk Seri Mohamed Azmin
masih gagal memuktamadkan rundingan dengan Syarikat Pengeluar Air
Selangor (SPLASH) dengan tawaran yang munasabah.
"Oleh kerana itu, saya sangat sensitif tentang perkembangan industri
air. Ini adalah usaha reformasi yang sangat penting, (untuk) kita
pulangkan hak kepentingan rakyat kepada mereka.
"Dahulu kepentingan rakyat seperti air dan tenaga (elektrik)
diswastakan. Hasilnya menampakkan rakyat tidak mendapat pulangan yang
baik, sebab yang untung banyak adalah syarikat konsesi. Rakyat
dibebankan harga tarif yang tinggi," katanya.
Khalid juga terkilan dengan tawaran tinggi yang mahu dibayar oleh kerajaan negeri kepada SPLASH iaitu sebanyak RM2.7 bilion.
Mantan menteri besar itu tegas dengan pendiriannya bahawa SPLASH hanya
layak ditawarkan sebanyak RM250.6 juta, dan menyifatkan sebarang tawaran
yang melebihi jumlah itu 'akan menindas hak rakyat'.
Ketika menjadi Menteri Besar, Khalid memulakan penyusunan semula
industri air di Selangor melalui pendekatan yang holistik bertujuan
'mengembalikan saham air kepada rakyat negeri ini'.
"Sebab itu saya nak kerajaan Selangor buktikan bahawa usaha yang
dijalankan kepada rakyat negeri ini adalah usaha yang terbaik. Maknanya,
dengan harga yang lebih murah.
"Jika kerajaan negeri dapat tawaran kurang RM9.65 bilion (jumlah
keseluruhan pengambilalihan) atau harga yang kita tawarkan kepada SPLASH
mengikut tatacara yang kita lakukan, saya sangat menyokong.
"Namun jika saya tahu ura-ura mereka hendak naikkan, saya tak akan
sokong. Sebab saya bekerja untuk rakyat Selangor, bukan untuk pihak
konsesi kerana mereka sudah mendapat gaji yang tinggi," tegas Khalid
lagi.
Khalid sewaktu memimpin Selangor menawarkan pengambilalihan ekuiti dan
liabiliti keempat-empat syarikat konsesi berkenaan berjumlah RM9.65
bilion.
Sebelum Khalid meletak jawatan beliau berjaya mengambil alih tiga
syarikat berkenaan kecuali SPLASH yang dikatakan tidak bersetuju dengan
tawarannya.
Pada 12 September 2014, Khalid membuat tawaran terakhir dengan meletakkan RM 250.6 juta untuk mengambil alih ekuiti SPLASH.
Nilai itu ditentukan menerusi kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan
pulangan 12% setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana dividen yang
telah dibayar (12% ROE) selepas kerajaan negeri meneliti terma yang
dinyatakan dalam Perjanjian Penswastaan air, yang ditandatangani oleh
semua syarikat konsesi termasuk SPLASH.
Namun Azmin mendakwa Khalid 'menyembunyikan nilai tawaran sebenar berjumlah RM2.975 bilion' yang dibuatnya kepada SPLASH.
Khalid menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa tawaran berjumlah
RM2.975 bilion kepada SPLASH itu dibuat pada 25 Jun 2009 yang merangkumi
ekuiti berjumlah RM1.579 bilion dan liabiliti RM1.396 bilion.
Tawaran berkenaan, kata Khalid, dibuat berdasarkan prinsip 'all or
nothing', bermakna ia hanya disempurnakan jika keempat-empat pemegang
konsesi menerima tawaran tersebut.
Ia terbatal selepas dua daripada syarikat konsesi iaitu SYABAS dan
Puncak Niaga menolak tawaran kerajaan negeri pada ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.