shahbudindotcom
Menurut
kata Rizal Mansor, pembantu kepada Rosmah Mansor, penyertaan ahli
keluarga Najib Razak dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China adalah
bersesuaian dengan amalan kebiasaan budaya masyarakat Cina dan
keinginan negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan
kekeluargaan.
Kata
beliau, jarang untuk Najib membawa ahli keluarganya menyertai lawatan
rasmi ke sesebuah negara, tetapi kali ini mahukan anak-anaknya ada
bersama kerana lawatan panjang selama seminggu ke China.
Apatah lagi, katanya, penyertaan dalam lawatan rasmi itu setelah mendapat jemputan khas untuk membawa keluarganya.
Rizal
juga menambah, budaya menjalin hubungan melalui kekeluargaan itu
dikuatkan lagi dengan peribahasa lama Cina yang menyebut apabila minum
air, fikirkanlah punca air tersebut.
Sejak
malam semalam, heboh di media sosial mengenai penyertaan Riza Aziz,
anak tiri Najib yang sedang disaman oleh Jabatan Kehakiman AS, yang
didapati turut serta dalam lawatan rasminya kali ini.
Gambarnya
turun dari tangga kapal terbang sedang berjalan di belakang Rosmah
mengundang rasa jengkel banyak pihak seolah-olah beliau individu penting
dalam kerajaan Malaysia sehingga wang pembayar cukai digunakan untuk
membiayainya.
Dilaporkan bahawa seorang lagi anak Najib, Norashman juga turut serta dalam lawatan rasminya ke China itu.
Di
laman Facebook dan Twitter Najib pada awalnya ada disertakan tulisan
mengenai ketibaannya ke China beserta gambar yang turut memaparkan wajah
anak tirinya itu.
Namun
demikian, setelah banyak kritikan serta cemuhan kedengaran, termasuk
Rafizi Ramli yang membangkitkannya dalam ucapan di Parlimen hari ini,
gambar Riza di laman Facebook Najib didapati sudah dicrop atau dipotong,
manakala tulisan di Twitter pula dipadam terus.
Tindakan
memotong gambar Riza di Facebook Najib itu menjadi berita dalam portal
Malaysian Mirror, manakala pemadaman tulisan di Twitter pula dikesan
oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam tulisannya di
laman tersebut.
Jika
benar penyertaan anak-anaknya adalah atas jemputan kerajaan China dan
kerana menghormati budaya mereka, mengapa Najib memotong gambar anak
tirinya dan memadam tulisan di media sosial miliknya?
Tidakkah
dengan berbuat demikian, ia menunjukkan Najib sendiri rasa bersalah
kerana membawa anak-anaknya itu, terutamanya Riza Aziz dan kemudian
memadamnya kerana tidak mahu gambar mereka dilihat oleh sesiapa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.