Penyanyi dan pengacara terkenal Adibah
Noor menyifatkan peluang bergandingan dengan pengacara dan pelawak
terkenal Harith Iskander untuk mengacarakan Anugerah Industri Muzik AIM
Ke-22 (AIM22) bagaikan impian jadi kenyataan.
Menurut Adibah, meskipun beliau dan
Harith bersahabat baik namun mereka jarang sekali digandingkan bersama
di dalam kaca televisyen.
"Dari segi persefahaman kami tidak ada masalah sebab kita sudah kenal antara satu sama lain dan selalu kerja bersama.
"Cuma kami jarang sekali digandingkan
bersama di kaca TV terutamanya untuk acara berprestij sebegini. Kalau
ada pun dalam acara misalnya di pentas lawak, memang pernah beberapa
kali kami mengacara bersama.
"Saya mengidolai Harith dan peluang ini umpama mimpi jadi kenyataan. Kalau Afdlin, dia litlle brother saya dan kalau Harith, dia big brother saya," katanya yang sebelum ini pernah muncul bersama Afdlin Shauki dan Bob Lokman.
Dalam pada itu Adibah berkata, dia dan
Harith akan menggunakan pengalaman mereka sepanjang menjalankan tugas
sekaligus mencipta kemeriah perjalanan acara malam tersebut.
"Kami akan gunakan pendekatan iaitu secara spontan, apa yang terlintas di fikiran kami, itu yang akan kami cakap.
"Tapi kami akan pastikan suasananya tidaklah terlalu serius sebaliknya santai dan tidak membuat penonton berasa bosan," katanya.
Selain Adibah dan Harith sebagai
pengacara utama, penyampai radio dan penyanyi Aril Pilus dan pengacara
Shamim Farid pula bakal bertindak sebagai pengacara Karpet Merah.
Disamping turut ditampilkan persembahan
daripada barisan artis terkenal iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal
Tahir, Hazama, Khalifah, SonaOne, Yuna, Sufian Suhaimi, Projector Band,
Ameng dan Akim & The Majistret.
Manakala penyampai anugerah pula terdiri
daripada barisan selebriti seperti Aaron Aziz, Hafiz Suip, Amyra Rosli,
Datuk M. Nasir, Estranged dan Forteen.
AIM22 bakal berlangsung di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada pukul 9 malam.Ia
turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.