KUALA LUMPUR: Fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang adalah antara
empat cabaran utama Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang, selain pengundi muda, perpecahan dalaman dan Tun Dr Mahathir
Mohamad, kata Bendahari Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata jentera penerangan Umno
harus bangkit melawan fitnah dengan hujah dan fakta yang jelas supaya
rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak
lawan.
Katanya jentera penerangan dan anggota Umno tidak sepatutnya hanya
berdiam diri apabila mendapati terdapat fitnah yang dilemparkan terhadap
Umno terutama melalui media sosial, sedangkan mereka mengetahui ia
adalah tidak benar.
"Masalahnya kita sendiri yang menyebarkan fitnah itu...ini saya lihat
sendiri di aplikasi WhatsApp, dia kongsi fitnah yang katanya dia dapat
dari 'group sebelah', seronok dengar fitnah dari pihak lawan sedangkan
kita ada fakta yang baik yang boleh kita sebarkan.
"Ada juga yang minta saya sekat laman tertentu...memanglah kalau salah
akan diambil tindakan tetapi sepatutnya bila kita tahu itu fitnah kita
lawan dengan fakta dan hujah dahulu," katanya semasa merasmikan
Konvensyen Penerangan Media 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
di sini, Selasa.
Konvensyen julung kali diadakan itu sempena Perhimpunan Agung Umno 2016
yang bertujuan memantapkan saf jentera penerangan Umno bagi menghadapi
PRU14 akan datang.
Salleh berkata cabaran yang dihadapi daripada pengundi muda juga amat
besar apabila mereka mudah mempercayai apa sahaja yang disebarkan
melalui media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap
kerajaan.
Menurutnya jentera penerangan Umno perlu mencari jalan untuk memahami
dan mendekati 'generasi gajet' itu bagi meyakinkan mereka bahawa Umno
adalah parti yang bergerak dalam satu pasukan yang jelas.
"Pihak lawan tiada pasukan pun, bergaduh antara mereka. Terangkan
kekurangan di pihak lawan ini dan apabila mereka dapat lihat ini, mereka
akan nampak kebaikan parti kita," katanya.
Menurutnya, Umno juga perlu mengelakkan perpecahan dalaman parti dan
terus memperjuangkan ideologi mempertahankan kontrak sosial untuk
memastikan parti keramat Melayu itu terus kekal bertahan."Kita hanya ada
satu ketua iaitu Presiden kita, itu prinsip berorganisasi.
Jika terlalu banyak subpemimpin, sejarah membuktikan parti tidak kuat.
"DAP dapat bertahan lama kerana parti itu ada perjuangan iaitu melawan perjuangan Umno," jelas Salleh.
Mengenai Dr Mahathir, katanya bekas perdana menteri dan bekas presiden
Umno itu kini bersekongkol dengan DAP yang memperjuangkan ideologi yang
jelas bertentangan dengan dasar perjuangan Umno iaitu mempertahankan
kontrak sosial.
Salleh turut berkata Umno tidak boleh dilihat eksklusif untuk orang
Melayu sahaja dan bersifat politik retorik, sebaliknya perlu bersifat
inklusif dan berjuang untuk rakyat keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.