Sabtu, 19 November 2016

Bilangan Melayu sertai BERSIH 5 meningkat

 
 
Gelagat segelintir belia Melayu semasa menghadiri Himpunan BERSIH 5 di sekitar Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 NOVEMBER 2016.
Gelagat segelintir belia Melayu semasa menghadiri Himpunan BERSIH 5 di sekitar Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 
 
 
Kalau Himpunan BERSIH 4 ia didominasi oleh kaum Cina namun pada BERSIH 5 kehadiran kaum Melayu menunjukkan peningkatan ketara.
 
Justeru timbul tanda-tanya apakah BERSIH 5 bukan lagi menjadi medan kepada kaum tertentu untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
 
Ada juga peserta BERSIH 5 daripada kaum India dan Orang Asli namun ia tidak ramai.
 
 
Bagi peserta baju merah walaupun ada sokongan India dan Cina namun majoritinya sudah tentu orang Melayu. Mereka terdiri daripada kumpulan NGO yang pro kerajaan dan ada juga yang tidak berpihak tetapi tidak menyukai DAP.
 
Kali ini tidak nampak kelibat sebarang ahli berbaju hijau atau Unit Amal Pas yang sebelum ini orang kuat dalam penganjuran siri BERSIH terdahulu.
 
 
Faktor utama belia Melayu turut muncul kali ini mungkin kerana terdapat pelbagai isu besar yang menyelubungi rakyat ketika ini.
 
Ia mungkin ada kaitan dengan masalah yang menimpa seperti miskin bandar, kenaikan petrol, minyak masak, GST dan kos hidup yang makin tinggi 'mengheret' mereka bersama pembangkang protes di jalanan.
 
Jumlah mereka dianggarkan melebihi 30 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir hari ini.
 
Mereka kelihatan tidak segan silu bercampur dengan kaum Cina yang rata-rata majoriti penyokong DAP namun gelagat mereka sepanjang perhimpunan masih bersopan kerana tidak memaki hamun kepemimpinan negara dengan bahasa kesat.
 
Malah lebih menarik perhatian, mereka agak berani dan menjadi peserta yang mara ke hadapan sementara sepanduk dan placard anti kerajaan didominasi kaum Cina- ia merupakan senario biasa seperti siri-siri BERSIH lain sebelum ini.
 
Justeru tidak keterlaluan jika berpendapat kelompok belia Melayu itu mula bosan  dengan perpecahan yang berlaku dalam parti politik Melayu khususnya melibatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Amanah Negara.
 
Persoalannya, adakah BERSIH 5 mencapai tujuan penganjur menyelamatkan negara atau mahu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia?
 
Yang menjadi mangsa pastinya pemandu teksi yang mengeluh kerana sukar mendapat penumpang untuk memasuki bandar raya dan 'kesengsaraan'  orang ramai yang terjejas akibat kesesakan lalu lintas.  Aktiviti hari minggu warga kota juga terjejas teruk akibat BERSIH 5.--MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.