Selangor Fruits Valley (SFV) yang berkeluasan 1,000 ekar yang kini dalam proses pemuliharaan untuk pembangunan industri agro-perlancongan, dijangka akan dibuka semula secara rasmi pada awal 2017.
Timbalan Pengurus Besar Kumpulan (Operasi) Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohamad Fadzil Hitam berkata, PKPS sedang giat memberi fokus usaha baikpulih kawasan perladangan tersebut.
“Ketika ini, kita masih giat memfokuskan usaha baik pulih SFV. Walaupun ada sedikit kelewatan, namun kita yakin SFV akan memberikan impak besar apabila siap nanti,” katanya seperti dilaporkan Selangorkini.
Fadzil berkata, PKPS akan berbincang dengan Tourism Selangor untuk merancakkan aktiviti SFV apabila dirasmikan nanti.
“Ia bagi menarik lebih ramai pelancong ke SFV dengan aktiviti dan program yang terbaik akan diusahakan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, lebih 40 usahawan tani turut menyertai SFV dengan menyewa lot sekurang-kurangnya lima hingga 10 ekar.
“Kita memberikan mereka peluang menambah pendapatan dengan menyewa lot yang disediakan selain daripada yang diusahakan PKPS. Usahawan tani ini kebanyakannya mengusahakan buah-buahan dan tanaman kontan,” katanya.
SFV dikenali masyarakat setempat sebagai dusun buah-buahan yang terletak di Rawang dan antara pusat tanaman buah-buahan terbesar di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.