Rabu, 26 Oktober 2016

Projek bela kucing jalanan

kucing
 

KELIHATAN belasan kucing yang berkeliaran di sekitar kampus. Rupanya tidaklah secantik kucing peliharaan yang tentunya montel, jinak, comel dan manja.

Kucing jalanan yang berlegar-legar itu dilihat begitu kurus, comot, kotor dan ada sesetengahnya mengalami luka di telinga serta kulit bernanah pada badan. Melihatkan keadaan kucing-kucing sebegini, sudah tentulah tiada individu yang akan memberi perhatian pada mereka. Mahu mendukung dan membelainya juga sudah tentu tiada dalam diari mana-mana individu apatah lagi jika mahu membelanya.

Begitulah nasib sang kucing yang terbiar. Kelaparan, kesejukan, kesakitan, tiada siapa yang ambil peduli. Pengakhirannya, mungkin ada yang akan mati kelaparan.

Walau bagaimanapun, tidak semua manusia bersikap kurang prihatin terhadap haiwan terbiar. Masih ada yang sayang pada si manja ini. Mengambil contoh keprihatinan sekumpulan mahasiswa Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB) dari Universiti Malaya (UM).

Dikurniakan sifat kasih sayang, bertanggungjawab dan rasa kasihan yang amat kuat terhadap kucing jalanan, mereka sepakat mengutip, menjaga dan seterusnya membela kucing-kucing jalanan berkenaan di kampus UM.

Diberi nama Bella, Grumpy, Johnny, Kidd dan Leo, kucing-kucing jalanan ini di beri makan, dimandikan dan dijaga dengan sepenuh hati oleh sukarelawan UM ini. Mereka juga ditempatkan di sangkar kucing khas hasil sumbangan badan bukan kerajaan.

Dek penjagaan rapi daripada penuntut KKTB ini, kini, wajah si comel tidak lagi comot, tidak lagi kotor. Semuanya bersih, cantik dan manja.

Sewajarnya, usaha yang dilakukan mahasiswa UM harus diberi pujian. Bukan mudah mahu membahagikan masa antara akademik, kokurikulum dan program khidmat bakti sebegini. Jika tiada minat dan berjiwa penyayang, mungkin agak sukar untuk penuntut memelihara haiwan jalanan tersebut.

Ikuti perkongsian kisah yang diceritakan sukarelawan UM yang bersikap penyayang ini. Moga perkongsian ini boleh dijadikan contoh oleh pusat pengajian tinggi lain untuk mengikut jejak langkah mereka nanti.

Sukarelawan UM luang masa bersama kucing jalanan

Renungan matanya seperti meminta dirinya dibelai. Walaupun makanan dan minuman telah disediakan, Bella akan menghampiri pintu sangkarnya setiap kali dia melihat seseorang menghampiri. Dan tanpa rasa jemu, sekumpulan sukarelawan dari KKTB, UM akan melayan kerenah Bella dan 12 rakan-rakannya yang ingin dibelai dan dimanja setiap hari.

“Kucing-kucing di sini kesemuanya adalah kucing jalanan yang terbiar di dalam kampus UM. Kami kumpulkan dan menghantar mereka ke klinik untuk pemeriksaan agar kesihatan mereka lebih terjamin.

Tujuan asasnya adalah membina platform untuk mahasiswa yang mencintai haiwan untuk meluangkan masa bersama si manja ini dengan selamat dan selesa semasa di kampus,” kata Azra Afiqah Mohd Amir, mahasiswa tahun kedua jurusan Kejuruteraan Bioperubatan, memulakan bicara. Azra Afiqah dan rakan-rakannya merupakan sukarelawan yang mendepani usaha menyelamat dan memelihara kucing-kucing terbiar di UM sejak tahun 2015.

Kumpulan sukarelawan ini memanggil program mereka House of Muezza (HoM), bersempena dengan nama kucing peliharaan baginda Rasulullah SAW. Program ini dimulakan atas keinginan ingin membantu kucing jalanan yang dilihat kerap berkeliaran di sekitar kampus, terutamanya kawasan berhampiran kafe dan kedai makan; selain dari memberi peluang kepada mahasiswa untuk 'bersukarelawan' di dalam sesuatu yang mereka minati.

“Walaupun mereka tidak mempunyai masalah bekalan makanan jika dibuang berdekatan kafe dan kedai makan, namun kucing-kucing ini masih tidak menerima cukup belaian dan perhatian, sesuatu yang penting dalam penjagaan kesihatan kucing ini secara holistik. Keadaan kesihatan mereka juga selalunya tidak diberi perhatian, dan mungkin menjadi punca merebaknya penyakit berjangkit jika tidak dipantau,” jelas Azra Afiqah.

Dengan sokongan dari pihak pengurusan KKTB dan sumbangan daripada Powercat Sdn Bhd dan Kelab Kucing Malaysia (KKM), sebuah sangkar kucing bersaiz 10 meter persegi telah disiapkan pada Ogos 2016 untuk menempatkan kucing-kucing yang telah diselamatkan. Sangkar ini juga berfungsi sebagai perlindungan kepada kucing-kucing ini di waktu malam, apabila haiwan liar lain yang berbahaya turut berkeliaran.

“Saya gembira kerana mahasiswa UM bukan sahaja menunjukkan minat untuk memelihara kucing-kucing ini, namun turut menunjukkan sifat tanggungjawab di segenap aspek penjagaannya, termasuklah kebajikan dan kesihatan mereka. Ini secara tidak langsung akan membina sahsiah yang baik dalam diri mereka, terutamanya sifat kasih sayang sesama makhluk Tuhan yang lain,” kata Nurul Athirah Rosli, pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Alam Sekitar, salah seorang sukarelawan HoM ketika ditemui. Menurutnya lagi, ada di antara kucing-kucing ini akan dibawa pulang oleh sukarelawan semasa cuti semester untuk dijaga.

Muhammad Izat Abu Talib, salah seorang pengasas HoM dan pelajar tahun akhir jurusan Ekologi dan Biodiversiti, ketika diminta menceritakan permulaan bermulanya program ini berkata, “Saya merasakan sesuatu yang menyeluruh perlu dilakukan oleh mahasiswa UM untuk kucing-kucing jalanan ini. Kami bermula dengan 24 ekor kucing, namun lima daripadanya hilang atau mati diserang haiwan liar lain, dan tujuh daripada mereka telah diambil untuk dipelihara oleh orang perseorangan atau keluarga yang berminat. Kami berharap lebih ramai lagi pihak dapat memberi bantuan, sama ada dari segi pembiayaan kos makanan, dan penjagaan kesihatan, mahu pun sokongan moral untuk kami meneruskan usaha sukarelawan ini," katanya.

Atas sikap proaktif sukarelawan HoM ini juga, baru-baru ini mereka telah menyertai Karnival Jom Sayangi Haiwan di Kota Damansara, Selangor yang turut disertai pelbagai NGO berkaitan kebajikan haiwan, termasuklah SPCA Selangor.

Mereka telah mengambil peluang untuk menjual barangan kraf tangan HoM bagi mengumpul dana untuk program akan datang. HoM merupakan satu-satunya kumpulan sukarelawan dari institusi pengajian tinggi, lantas meletakkan nama UM terkedepan dalam usaha mengetengahkan usaha menyelamat dan menyayangi haiwan-haiwan jalanan ini.

“Program HoM ini juga telah mendapat pengiktirafan di peringkat UM, memandangkan kami merupakan satu-satunya kumpulan sukarelawan mahasiswa yang dijemput bagi memeriahkan suasana sambutan Animal Awareness Day yang dianjurkan saban tahun di Pusat Perubatan UM.

"Program ini akan mengumpulkan pelbagai badan kebajikan dan orang perseorangan yang menjuarai isu-isu berkaitan haiwan peliharaan. Di sana kami berpeluang berkongsi pengalaman melaksanakan program sukarelawan ini, di samping menggesa orang ramai supaya mengutamakan pengambilan haiwan jalanan yang terbiar, berbanding membeli haiwan peliharaan yang baru,” kata Azra Afiqah menutup bicara.

Maklumat lanjut mengenai program House of Muezza boleh didapati di laman Instagram @bahiyyacats atau menghubungi Azra Afiqah Mohd Amir di talian 011-3767 9876

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.