Penasihat
Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin melahirkan
kebimbangan dengan peningkatan pengguna internet di negara ini yang
mengakses aplikasi media sosial setiap hari.
Kata beliau, hasil kajian TNS Global menunjukkan sebanyak 66
peratus daripada 30.5 juta rakyat berada di talian internet setiap hari,
sekali gus meletakkan Malaysia di tangga keempat aktif media sosial di
Asia Pasifik.
Menurutnya, kajian daripada “We are sosial” sehingga September lalu
juga menunjukkan 59 peratus daripada 20.1 juta pengguna internet adalah
gologan berumur 30 tahun ke bawah.
"Statistik ini sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik
kerana pengguna media sosial ini kebanyakannya generasi muda yang perlu
diberi kesedaran dengan sifat bertanggungjawab dalam menerima, menilai
dan memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya kepada pihak
lain.
"Ini semua berpunca daripada kecanggihan pelbagai alat komunikasi
terutama telefon pintar yang dibantu pula dengan perisian media sosial
masa kini seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blogs
dan laman sesawang yang memudah serta mempercepatkan penyampaian
maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk,
'Fitnah Media Sosial Cetus Permusuhan dan Kehancuran Ummah: Perspektif
Fiqh Tabayyun' di Seminar Antarabangsa 2016 Wasatiyyah di Shah Alam,
hari ini.
Perasmian seminar dua hari ini dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 8 malam ini.
Menurut mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal
Agama itu, antara kesan besar daripada kecanggihan media sosial ialah
penglibatan segelitir rakyat negara ini dalam kumpulan militan Negara
Islam iaitu Daesh.
Jelasnya, mereka terpengaruh dengan perjuangan itu kononnya jihad,
disebabkan kecetekan berfikir akibat daripada menerima maklumat salah
iaitu dalam bentuk fitnah oleh pihak tertentu menerusi media sosial.
"Paling membimbangkan bagaimana kumpulan Daesh ini begitu licik
menggunakan media sosial merekrut bukan sahaja lelaki, bahkan juga gadis
remaja serta kanak-kanak untuk menyertai kumpulan berkenaan.
"Kenapa semua ini berlaku? Paling tidak, boleh dikatakan kerana
situasi masyarakat kita mentafsirkan pemahaman konsep jihad itu secara
melampau dan hanya melihat jihad itu dengan peperangan sahaja," katanya.
Dr. Abdullah memberi contoh, pada 18 Mei lalu, kumpulan Daesh
menerusi video propaganda berdurasi 16 minit telah mengisytihar perang
terhadap Malaysia.
Perisytiharan itu, ujar beliau, disampaikan Ketua Sayap Daesh dari
Unit Katiban Nusantara, Zainuri Kamaruddin, yang juga bekas Ketua
Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
"Alasan diberikan Zainuri untuk berperang dengan Malaysia adalah
kerana negara ini dilihat sebagai sebuah negara taghut iaitu zalim dan
berbuat jahat.
"Bagaimanapun polis menerusi Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas
Bukit Aman telah memantau sebarang aktiviti domestik dan kumpulan yang
bersimpati dengan Daesh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini
terjadi.
"Polis tetap bersiap sedia, jika benar pengaruh Daesh tersebar luas
di sempadan utara, selatan Filipinna dan kemungkinan serangan secara
berseorangan," katanya.
Mengenai fitnah media sosial, beliau menasihat umat Islam agar
berwaspada supaya tidak terdedah kepada penyebaran berita yang belum
dipastikan kesahihannya.
"Tambahan pula kadang-kadang sumber berita itu datangnya dari musuh Islam," katanya. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.