GEORGETOWN: Lebih 1,000 peserta Himpunan Pemuda Bangkit Pulau Pinang
2.0 berkumpul di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), bagi
menyerahkan memorandum mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng, meletak
jawatan susulan dakwaan dua kes rasuahnya.
Terdahulu, peserta program yang diketuai Naib Ketua Pemuda Umno,
Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Rahim,
berarak dari Menara Umno di Jalan Macalister.
Khairul Azwan berkata, pihaknya akan meneruskan himpunan berkenaan selagi Guan Eng enggan bercuti atau melepaskan jawatan.
"Kita akan teruskan himpunan ini dan jika keadaan mendesak, kita tidak
tolak kemungkinan mengadakannya di hadapan kediaman Guan Eng," katanya
yang dipetik Berita Harian Online.
Memorandum berkenaan diserahkan Khairul Azwan dan diterima Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.
Sebelum ini, Khairul Azwan mengetuai Himpunan Pemuda Bangkit Pulau
Pinang 1.0, yang diadakan di Persiaran Gurney, di sini, 1 Oktober lalu.
Guan Eng menghadapi dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi di Pulau
Pinang berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta
pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.