Oleh Zeanaaima Md Yusuf
KEMAMAN: Majlis Syura Ulama PAS akan mengadakan mesyuarat 8 Oktober ini
untuk memutuskan siapakah yang akan menggantikan Allahyarham Datuk Dr
Haron Din, sebagai Mursyidul Am PAS.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata buat masa ini, kerusi tersebut
dipangku oleh Timbalan Mursyidul AM PAS, Datuk Ahmad Yakob.
"Kita ada pemangku dia. Nanti kita sahkan dia (Datuk Ahmad Yakob) dalam mesyuarat akan datang.
"Mesyuaratnya 8 haribulan (Oktober) di Ibu Pejabat PAS," ujarnya pada
sidang media selepas berucap di Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno
(PGU) HARAP 3.4, di Kemensik, Kemaman, Terengganu, malam tadi.
Ahmad sebelum ini menolak untuk mengambil alih jawatan tertinggi parti
itu, dan mahu memberi laluan kepada individu yang lebih layak berbanding
dirinya.
Kerusi itu kosong selepas Allahyarham Haron meninggal dunia pada 16
September lalu akibat komplikasi jantung, di Hospital Stanford, San
Francisco, Amerika Syarikat.
Pemerhati politik berkata, Ahmad keberatan untuk menerima jawatan itu
selepas dua penyandangnya, Allahyarham Haron dan Allahyarham Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, meletakkan penanda aras yang tinggi untuk sesiapa
sahaja yang akan menggantikan mereka kelak.
Selain jawatan timbalan mursyidul am, Ahmad juga menggalas tanggungjawab memimpin Kelantan, sebagai menteri besar negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.