Jumaat, 28 Oktober 2016

Gangguan perkhidmatan tren laluan utara-selatan akibat tren tergelincir

MALAYSIA GAZETTE




Perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran tren kargo di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah dekat sini, awal hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini berkata kejadian pukul 3.15 pagi itu berlaku ketika tren kargo itu dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di sini untuk mengambil muatan simen.

"Dua lokomotif dan 25 gerabak kosong telah tergelincir dan menghalang kedua-dua landasan.

"Ini menyebabkan semua tren yang melalui laluan ini telah terhalang dan penumpang yang menggunakan beberapa perkhidmatan tren dari Kampar-Ipoh-Kampar akan dipindahkan menggunakan bas," menurut kenyataan itu.

Maklumat mengenai insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan.

Sementara itu, Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak Mohd Khairul Jamil berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dua orang pemandu tren itu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

"Terdapat kebakaran kecil pada bahagian enjin gerabak dan anggota bomba hanya dibenar masuk ke lokasi setelah bekalan elektrik di kawasan itu ditutup," katanya.-- BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.