Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)
menggesa kerajaan untuk lebih peka terhadap tahap keselamatan di
bangunan-bangunan kerajaan khususnya hospital, bagi mengelakkan insiden
kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berulang.
Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, insiden yang
meragut enam nyawa di HSA sudah cukup untuk menjadi 'penggera' agar
tindakan dan langkah keselamatan lebih diperhalusi dan diteliti selepas
ini.
"Bangunan-bangunan lama ini wajar perlu menjalani pemeriksaan semula
bagi memastikan ianya selamat terutama sekali bila melibatkan sistem
pendawaian atau apa jua aspek berkaitan keselamatan.
"Termasuk juga perlu adanya pintu keselamatan supaya kalau berlaku kebakaran dan sebagainya, ia boleh mengelakkan lemas asap.
"Mungkin bila berlaku insiden di HSA ini barulah perkara-perkara itu
dibangkitkan, maksudnya sebelum ini bila tak ada insiden itu kerajaan
terlepas pandang atau anggap ia bukan perkara besar," katanya kepada
Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam bahawa 48 hospital berusia lebih
50 tahun di seluruh negara akan menjalani proses audit keselamatan.
Dalam pada itu tambah Yusof, sekarang bukanlah masa untuk menuding jari
kepada mana-mana pihak, sebaliknya semua pihak perlu mengambil iktibar
seterusnya bekerjasama demi memastikan tahap keselamatan di hospital
terjamin.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, enam pesakit maut apabila wad Unit
Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar.
Manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.
Tiga kakitangan hospital itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.