Isnin, 3 Oktober 2016

DAP gesa polis ambil tindakan serius terhadap Jamal dan samseng UMNO

14520452_1196018667103548_6555993752782959354_n

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng penyokong Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunos menyerang kumpulan konvoi BERSIH di Teluk Intan, semalam.

Kumpulan BERSIH yang tiba di lokasi kejadian setelah merentasi perjalanan dari Lumut bertembung dengan penyokong Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang melakukan kekasaran dan provokasi terhadap mereka.

Penyokong Gerakan Baju Merah seperti yang dilaporkan media bertindak merampas kain rentang yang dibawa oleh tiga peserta konvoi BERSIH dan memukul salah seorang dari mereka.

Malah, dalam perjalanan konvoi tersebut ke Teluk Intan, mereka telah diganggu sekumpulan penyokong Gerakan Baju Merah bermotosikal yang menghentak-hentak kereta yang dipandu peserta BERSIH.

Memandang serius insiden itu, Adun Kampung Tungku, Lau Weng San dalam satu kenyataan menggesa agar polis mengambil tindakan pantas menahan dan menyiasat peserta Gerakan Baju Merah yang telah bertindak ‘seolah-olah mereka tidak perlu mematuhi undang-undang’.

“Janganlah kegagalan polis mengambil tindakan cepat ditafsir sebagai bertindak berat sebelah dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan politik pihak parti pemerintah,” katanya yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor.

Ahli Parlimen DAP Kawasan Klang, Charles Santiago berkata, UMNO harus bertanggungjawab terhadap tindakan Jamal dan penyokongnya yang mencetuskan kekacauan tersebut.

“Kegagalan parti pemerintah untuk berbuat demikian hanya membuktikan bahawa pemimpin UMNO juga bersekongkol dengan Jamal dan kumpulannya itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulangi desakan yang sama agar polis mengambil tindakan drastik terhadap Gerakan Baju Merah.

“Sudah tiba masa untuk Jamal bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya itu dan tidak terlepas daripada kesalahan seumpama itu lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula berkata, polis harus bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian yang berlaku sepanjang tempoh selama tujuh minggu konvoi BERSIH sekiranya Jamal tidak diberkas ekoran perbuatan kumpulannya itu.

“Samseng UMNO berbaju merah akan terus membuat kacau sekiranya tindakan mereka tidak dibanteras dari awal,” tegasnya yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur.

Konvoi BERSIH 5 akan menjelajah ke seluruh 246 bandar, pekan dan kampung-kampung bagi memenuhi matlamat untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu-isu berkaitan skandal syarikat bermasalah negara 1MDB dan penyingkiran, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Obor simbolik dengan gaya Sukan Olimpik akan dibawa bersama-sama konvoi terbabit sebelum perhimpunan aman besar-besaran BERSIH pada 19 November akan datang diadakan di ibu kota. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.