Selasa, 4 Oktober 2016

Aplikasi Amar Jais mudahkan orang awam salur aduan

HARAKAHDAILY


 


KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan Aplikasi Amar JAIS bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat dan aduan.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim, berkata aplikasi itu diwujudkan bagi mengeratkan perhubungan maya mesra pengguna secara interaktif dan berinformatif.

“Diseru pegawai Jais mahupun imam, nazir dan pegawai masjid memuat turun aplikasi ini supaya mudah menghantar maklumat terus kepada penguatkuasa Jais dan tindakan dapat dijalankan segera.

“Aplikasi ini turut memberi maklumat undang-undang syariah serta mengambil alih peranan ‘blasting’ secara berbayar kepada ‘push notification’ percuma yang tidak memerlukan kos oleh jabatan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Himpunan Bulanan Jais di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), di Shah Alam, hari ini.

Walau bagaimanpun, katanya, aplikasi itu bukan untuk semua jenis aduan seperti masalah rumah tangga tetapi ia lebih kepada kemasyarakatan.

“Aplikasi ini lebih fokus kepada aduan amar maaruf nahi mungkar dan mencegah kemungkaran seperti berlaku pencegahan daripada segi pandangan Islam, ajaran sesat dan khalwat.

“Perkara seperti ini jarang kita terima laporan kerana ia bergerak tersembunyi.

“Jadi dengan kerjasama orang awam yang mendapat maklumat tersebut disaran menggunakan aplikasi ini dalam berkongsi maklumat untuk kita mencegah daripada terus berleluasa,” katanya.

Aplikasi itu juga dijangka melonjak Jais selangkah ke hadapan mendahului negeri lain dalam memanfaatkan teknologi ICT masa kini selari dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah ‘Smart Selangor’.

Laman web rasmi JAIS dan e-Syurtoh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS adalah pautan yang turut disertakan dalam aplikasi tersebut.

Dengan adanya dua pautan penting itu memudahkan anggota penguatkuasa membuat sebarang tugasan dan interaksi.

Dalam majlis sama, Jais turut melancarkan Ikonografi bergerak bahagian penguatkuasaan bagi mempromosikan dan memaparkan sejauh mana mereka menjelajah dalam melaksanakan tugas.

Ikonografi bergerak itu diperluas bagi menyedarkan dan mendorong masyarakat bersama menegakkan ajaran Islam dalam diri masing-masing

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.