Khamis, 1 September 2016

Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu

Astro Awani
Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu
5 perkara yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang Zika
 
 
Ancaman Zika kini sah melanda Malaysia, dengan seorang wanita dari Klang yang baru pulang dari Singapura disahkan positif sebagai kes pertama di negara ini.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura, didapati negatif.


Sebelum kes ini lagi, kebimbangan jelas semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia ekoran penularan kes Zika di negara-negara jiran.

Di Singapura, seorang wanita hamil antara 24 kes Zika terkini yang dikesan di sana, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 115 kes di Republik itu. Kerajaan negeri Johor sebelum ini telahpun mengambil langkah mempertingkatkan kawalan di enam pintu masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Thailand pula, jumlah kes Zika semakin meningkat dengan 97 orang didiagnos dengan penyakit itu dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Virus Zika
Virus Zika

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, berkata kementeriannya mempunyai pakar dan kemudahan yang cukup untuk mendepani sebarang kemungkinan.

"Virus itu sampai atau tak sampai, mereka yang sudah dikesan positif akan dimasukkan ke dalam wad dan tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan jangkitan virus itu kepada individu lain.


Semua hospital utama di negara ini mempunyai unit kawalan penyakit berjangkit dan diketuai oleh Ketua Pakar Jangkitan Penyakit Malaysia, Dr Christopher Lee dan kita mempunyai pakar di seluruh negara untuk merawat penyakit ini," katanya ketika sidang media khas pada Isnin.

Virus Zika dikesan kali pertama pada spesis monyet sekitar 1947. Ia kemudiannya tersebar secara besar-besaran di Amerika, selepas jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun lalu.

Berikut, lima perkara yang anda perlu tahu tentang Zika:

1. Apakah virus Zika?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.


Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.

Di Brazil, ia dilapor terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut.

Kesan Zika pada bayi

Namun, mereka percaya kecacatan ini mungkin ada kaitan dengan wabak Zika.


2. Bolehkah jangkitan Zika dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.


Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.


3. Bagaimanakah ia merebak?

Disebarkan melalui nyamuk aedes - bergantung kepada spesis.

Aedes jenis aegypti, paling banyak menyebarkan Zika. Aedes jenis ini ditemui di Florida, Gulf Coast dan Hawaii.

Namun baru-baru ini, ia turut ditemui di Washington DC yang bercuaca panas.

Aedes jenis albopictus dikatakan turut mampu menyebarkan virus Zika tetapi tiada kajian kukuh mengenainya. Jenis ini boleh ditemui di utara New York dan Chicago pada musim panas.

Nyamuk aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan senja. Ia membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan masa seminggu untuk menjadi nyamuk dewasa.


4. Siapa berdepan risiko paling tinggi?

Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika.

Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.
Kesan Zika
Kesan Zika


Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka.


5. Langkah-langkah pencegahan

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM:

  • Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh
  • Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran
 
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan jangkitan virus Zika di Malaysia.

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.