Isnin, 19 September 2016

SPRM buru bekas pengurus agensi kerajaan di Sabah gelapkan RM9 juta

 
Bekas pengurus besar itu pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.


sprm-sabah


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, ia susulan daripada siasatan sebelum ini yang mana suspek pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.

“SPRM mendapati wujudnya unsur rasuah yang menjurus kepada pengubahan wang haram melibatkan lebih kurang RM9 juta setelah menjalankan siasatan secara berterusan dan terperinci.

“Berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai meluluskan pembayaran tersebut kepada sebuah syarikat kelapa sawit kononnya sebagai pampasan selepas kerajaan negeri meluluskan tanah tersebut kepada sebuah agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan komersial,” katanya.

Menurut sumber, selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tanah tersebut kepada agensi kerajaan berkenaan, pemilik syarikat berkenaan mengemukakan permohonan pampasan bernilai RM9 juta merangkumi kos tanaman sawit dan nilai tanah yang dimiliki kerajaan negeri Sabah daripada bekas pengurus itu, sedangkan tanah ladang kelapa sawit milik kerajaan itu diusahakan tanpa kelulusan.
SPRM akan turut menahan pemilik syarikat kelapa sawit tersebut atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengurus terbabit untuk membuat tuntutan palsu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.