KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi
Dewan Rakyat akan berlangsung selama 25 hari bermula 17 Oktober hingga
24 November depan.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam satu kenyataan
berkata persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 10 hari
bermula 5 hingga 21 Disember depan.
Beliau berkata pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan)
2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga menteri
kewangan, di Dewan Rakyat akan berlangsung pada Jumaat, 21 Oktober.
Roosme berkata waktu persidangan Dewan Rakyat yang ditetapkan ialah
dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis.
"Waktu persidangan Kamar Khas yang berlangsung di Kamar Khas, Blok
Pejabat Sementara Parlimen, pula ialah dari pukul 2.30 petang hingga
4.30 petang pada Isnin hingga Khamis," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat akan datang bakal menyaksikan sesi khas 'Waktu Pertanyaan Menteri' dilaksanakan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan
perkara itu pada Isnin lepas berkata sesi selama 30 minit itu akan
diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelum bermulanya sesi pertanyaan
lisan di Dewan Rakyat.
Waktu Pertanyaan Menteri diluluskan sebulat suara oleh Penyata
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 7 April lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.