Isnin, 19 September 2016
Persempadanan semula SPR untuk menangkan BN, Selangor perlu buat pilihan raya awal
Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor perlu mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan pilihan raya lebih awal supaya dapat mengelakkan penggunaan pakai peta pilihan raya baru yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Merujuk kepada cadangan persempadanan semula oleh SPR pada Khamis lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia dirangka semata-mata untuk memberi kelebihan kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Katanya, menawan kembali Selangor selain mengembalikan semula dua pertiga majoriti Parlimen kepada UMNO adalah antara objektif utama SPR dalam cadangan persempadanan semula tersebut.
Katanya lagi, cadangan persempadanan itu juga adalah untuk memastikan kekalahan beberapa tokoh politik seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, objektif berkenaan telah “melanggar semangat Perlembagaan” dan prinsip demokrasi “satu orang, satu undi”.
“Persempadanan semula yang kelima ini mencatat sejarah kerana menjadikan jurang pengundi lebih besar daripada sebelum ini – yang jelas tidak selari dengan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua seperti yang dilaporkan sebelum ini mendedahkan terdapat pertambahan besar pengundi di kawasannya, Petaling Jaya Utara, berdasarkan penelitian cadangan persempadanan semula SPR itu.
Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP mendakwa kawasannya itu yang akan dinamakan semula sebagai “Damansara” telah mengalami peningkatan pengundi sebanyak 76.2 peratus berbanding piliharaya umum lalu, sekaligus menempatkan jumlah pengundi tertinggi di Selangor dengan 150,439 pengundi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.