Ahad, 18 September 2016

Projek RMM di Badang perlu disegerakan, jangan biarkan rakyat menderita

ZIKRI ABDULLAH
 
 
Datuk Husam Musa mendapat penerangan dari penduduk tempatan berkenaan projek yang kelihatan terhenti begitu lamaDatuk Husam Musa mendapat penerangan dari penduduk tempatan berkenaan projek yang kelihatan terhenti begitu lama


Para pemohon rumah mampu milik di Badang, Pengkalan Chepa tertanya-tanya nasib projek itu yang kini kelihatan terhenti begitu lama dan tiada tanda-tanda pembinaannya berjalan seperti dirancangkan.

Memenuhi aduan orang ramai, bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa pagi tadi melapangkan masa melawat tapak projek berkenaan bagi melihat sendiri perkembangannya.

"Memang jelas projek ini telah terhenti dalam jangkamasa yang lama," katanya kepada pemberita selepas meninjau persekitaran lokasi projek berkenaan.

Menurutnya, ditinjau dari luar, tapak pembinaan berkenaan telah dipenuhi rumput tinggi dan di bahagian tertentu telah kelihatan seperti belukar kecil.

"Walaupun tak dapat masuk kita boleh nampak pejabat tapak (site office) telah terbiar dan tidak digunakan. Rantai kunci di pintu masuk utama telah berkarat teruk tanda sudah lama tidak dibuka," katanya.

Projek berkenaan telah dilancarkan oleh MB Kelantan pada 23 Februari 2014 dan pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM9 juta untuk membantu pemaju melaksanakan pembinaan.

Menurut Husam rakyat perlu diberitahu status projek ini sekarang serta sebab-sebab ianya terbiar.
"Sangat pelik kerajaan membiarkannya terbengkalai.

"Ia sepatutnya jadi mercu tanda kerajaan negeri.

"MB janji nak bina 4,000 unit, 334 unit pun belum siap, macam mana nak capai target yang dicanang?.
"Ia juga menyusahkan rakyat yang telah membuat tempahan", katanya.

Beliau berharap Menteri Besar sendiri mengarahkan Exco Perumahan supaya membuat laporan kemajuan.
"Saya tidak tahu adakah pihak MB benar-benar tahu apa yang berlaku dan adakah pihak Exco ada melaporkan kepada beliau keadaan sebenar seperti yang kita lihat hari ini," katanya.

Dalam laporan media pada 24 Februari 2014, MB ada menyebut sebanyak 334 unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) bakal dibina oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kampung Jaya Setia dekat Badang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Fattah Mahmood pula berkata, Projek RMMK adalah projek pertama oleh kerajaan negeri di bawah MB Dato Ahmad Yaakob.

Menurutnya projek terbabit akan dilaksanakan oleh PKINK melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

“Hari ini kita yang diwakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menandatangani perjanjian bersama dengan PKINK yang diwakili oleh Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.