Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memberikan beberapa cadangan
penambahbaikan berkenaan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya
yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka
Siong berkata, partinya sudah mengemukakan justifikasi bantahan dan
cadangan mereka dalam mesyuarat bersama setiausaha-setiausaha agung BN
hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menerangkan secara terperinci
berkenaan cadangan yang bakal dikemukakan kepada SPR sebelum tarikh
akhir pada 14 Oktober depan.
"Lantaran itu kita juga dah sedia dengan semua maklumat yang ada
tentang bantahan dan cadangan, kami berdua dah bentangkan pada Ku Nan
apa cadangan mana yang kita nak bantah supaya ia dapat diperinci oleh
pihak BN.
"Antaranya apa prinsip kita patut pegang. Mana-mana kawasan yg kita
rasa kurang tepat atau mungkin ada cadangan penambahbaikan berdasarkan
justifikasi yg telah kita tetapkan. Saya rasa kita kena bicarakan
perkara ini dgn terperinci," katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn
hari ini.
Sementara itu Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng, ketika ditemui
memaklumkan bahawa mesyuarat yang sama akan diadakan pada Rabu depan
untuk perbincangan selanjutnya sebelum menulis bantahan secara rasmi.
Tambahnya, akar umbi akan dimaklumkan tentang perbincangan hari ini dan
akan membentangkan cara penyelesaiannya pada minggu hadapan.
"Akan terus berbincang selewatnya minggu depan pada Rabu dan kita akan mengadakan satu lagi mesyuarat di sini.
"Itu belum lagi peringkat terakhir, sebab tarikh terakhir adalah 14
Oktober jadi sebelum itu kita perlu segala persiapan akan turun ke
kawasan dan akar umbi untuk meninjau pendirian mereka dan kembali
suarakan dalam mesyuarat," katanya.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan, kajian
semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113
Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14
Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Semua pihak diberi masa selama sebulan sehingga 14 Oktober untuk mengemukakan bantahan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.