Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Kenyataan Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin
Nasution bahawa PAS berkali-kali mengkhianati parti itu berhubung isu
agihan kerusi pada musim pilihan raya, tidak berasas.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata beliau kesal akan
kenyataan Saifuddin itu dan menegaskan ia hanya akan menyukarkan proses
rundingan antara dua parti itu kelak.
"(Kenyataan Datuk) Saifuddin Nasution membawa nada untuk bergaduh bukan untuk berunding.
"Membuat tuduhan-tuduhan dan membuat andaian. (Sikap itu) tidak
gentlemen," ujar Iskandar kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.
Saifuddin semalam berkata PKR tetap akan mengadakan rundingan berhubung
pembahagian kerusi dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
itu untuk menjamin pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum
(PRU14) kelak.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sembang santai sempena Sambutan Amanah Setahun di Muar, pada Sabtu malam.
Saifuddin mendakwa PAS pada PRU10 hingga PRU13 mengkhianati keputusan
yang dipersetujui bersama dua parti itu membabitkan kerusi Bukit Besi,
Seberang Takir, Kota Putera, Kota Damansara dan Sungai Acheh.
Bagaimanapun ujar Saifuddin, meskipun sering dikhianati PAS, PKR tetap
akan meneruskan rundingan dengan parti itu untuk menumbangkan Umno
Barisan Nasional (BN) pada PRU14, akan datang.
Merujuk kenyataan itu, Iskandar berkata kenyataan Saifuddin itu tidak menggambarkan pendirian sebenar PKR terhadap PAS.
Malah Exco Selangor itu berkata, sekiranya PKR terus menuduh PAS dengan
tuduhan tidak berasas, formula satu lawan satu akan menemui kegagalan.
"Saya harap ini bukan sikap kesemua pimpinan PKR. Jika tidak rundingan mungkin akan gagal sebelum bermula," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.