ARIF ATAN
Sekumpulan mahasiswa melancarkan kempen _#TangkapMalaysianOfficial1 _
semalam ekoran kegagalan Perdana Menteri menyelesaikan kemelut
1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga
menyaksikan Jabatan
Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan senarai nama
yang terlibat dalam pengkhianatan berbilion ringgit dana awam itu.
Mereka yang dikenali sebagai Gabungan _#TangkapMalaysianOfficial1_ (
_#TangkapMO1_ ) itu berkata, mobilisasi besar-besaran bagi tujuan
berkenaan akan dilakukan dengan kemuncaknya pada 27 Ogos nanti.
Wakil gabungan mahasiswa berbilang kaum itu, Luqman Nul Haqim Zul
Razali berkata, laporan DOJ baru-baru ini mengesahkan lagi kekhuatiran
rakyat terhadap penyelewengan dana 1MDB apabila menyebut
tentang_'Malaysia Official 1'_ selain anak tiri Najib, Riza Aziz dan
ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.
"Sehingga hari ini, ketiga-tiga individu ini masih bebas malah tidak
ada inisiatif bersungguh-sungguh daripada kerajaan Malaysia untuk
bertindak ke atas mereka.
"Malah, kerajaan Malaysia juga masih enggan untuk mendedahkan siapa
sebenarnya individu yang dinamakan sebagai _Malaysian Official 1_ yang
dipercayai sebagai dalang utama disebalik penyelewengan wang rakyat
ini," tegasnya.
Dalam sidang media di Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya
(UM) itu, beliau berkata, mahasiswa dan anak muda akan menjalankan
pelbagai program penerangan secara berkelompok dengan memfokuskan
mahasiswa dan masyarakat luar Lembah Klang menjelang 27 Ogos ini.
"Kami juga mengalu-alukan pembabitan semua pihak tanpa mengira sempadan politik dan ideologi untuk bersama dengan kempen ini.
"Isu 1MDB bukan lagi rahsia dalaman negara, malah menjadi berita hangat di seluruh dunia.
"Anak muda tidak sanggup lagi menjadi bahan ketawa oleh masyarakat
dunia apabila dilihat seolah-olah masih merelakan sekumpulan individu
tidak bertanggungjawab terus merompak harta negara," ujarnya.
Mengulas lanjut, Luqman berkata, rakyat Malaysia dibimbangi akan
menerima kesan paling buruk jika kecurangan pengurusan dana awam itu
berterusan.
"Lebih malang apabila anak muda yang mewakili 60 peratus daripada
komposisi rakyat Malaysia akan terus berhadapan dengan ketidaktentuan
masa depan.
"Anak muda terpaksa menanggung beban kos hidup yang terus meningkat
dalam keadaan peluang kerjaya dan purata pendapatan di Malaysia masih
terkebelakang," jelasnya yang juga mahasiswa UM.
Sehubungan itu, Luqman menyeru supaya rakyat negara ini terutama anak
muda bertindak dengan turun bersolidariti di ibu negara menjelang
sambutan kemerdekaan itu.
"Inilah masanya untuk kita rayakan kemerdekaan dengan erti kata
sebenar. Jika anak muda tidak bertindak hari ini, kita khuatir tiada
lagi masa depan untuk generasi akan datang," tegasnya lagi.
Mahasiswa lain yang turut menyertai sidang media menjelang tengah
hari tadi ialah Anis Syafiqah, Nurul Aqilah, Gan Yu Lin, Chan Tau Chang
dan Chew Chuan Yang.
Untuk rekod, _#TangkapMO1_ tersebut adalah susulan demonstrasi
_#TangkapNajib_ di ibu negara yang juga digerakkan oleh gabungan
pelbagai pertubuhan mahasiswa dan anak muda pada 1 Ogos tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.