Jumaat, 26 Ogos 2016

Raja Muda Perlis tumpangkan pelajar maahad tahfiz

Raja Muda Perlis tumpangkan pelajar maahad tahfiz
Kenderaan rasmi istana dikesan membawa pelajar Maahad Tahfiz Padang Siding yang terkandas disebabkan hujan. - Foto Facebook Syed Atief
 
 
SHAH ALAM - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencuri perhatian orang ramai hari ini apabila baginda menumpangkan empat orang pelajar Maahad Tahfiz Padang Siding dengan menaiki kenderaan rasmi baginda.

Menerusi foto yang dimuat naik melalui laman Facebook Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar, kenderaan baginda dilihat membawa pelajar terbabit yang terkandas di masjid disebabkan cuaca hujan.

Menurut Syed Atief, baginda sebelum itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Bonggol Sena sebelum menumpangkan empat orang pelajar terbabit untuk dihantar pulang ke maahad tahfiz berkenaan.

“Selepas selesai solat, baginda melihat pelajar terbabit sedang menunggu hujan reda dan menitahkan supaya mereka menumpang kenderaan rasmi istana tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Dalam pada itu, tindakan baginda turut mendapat reaksi positif daripada pelayar laman sosial.

Seorang pengguna akaun bernama Harmizy Kasim berkata, “Terbaiklah, pemimpin berjiwa rakyat,” tulisnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna akaun bernama Azrul Sani berkata, “Raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid Mohammad pula berkata, “Terbaik....raja berjiwa rakyat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.