Selasa, 2 Ogos 2016

'Plot guling Najib' - IGP kata kes tutup, laporan hanya andaian

MALAYSIAKINI


Polis tidak akan menyiasat laporan yang dikemukana oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa wujudnya konspirasi peringkat tinggi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan itu berdasarkan "andaian" dan oleh itu tidak mewajarkan siasatan lanjut.

“Kita sudah rakam ucapannya, dan kita dapati Khairul buat cuma membuat laporan itu berdasarkan andaian.
“Dia tidak dapat mkemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa yang didakwanya dalam laporannya.

“Jadi PDRM tidak berhajat untuk meneruskan siasatan, kita telah memberhentikan siasatan,” katanya kepada wartawan.

Khalid juga berkata Khairul tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu.

“Tidak, dia mungkin baca laporan dari akhbar, dan dia mendengar cerita, dia ada sebab untuk buat laporan polis.

“Tetapi apabila kita temubual dia, kita mendpti apa juga yang dituduhnya itu cuma berdasarkan cakap dengar dan juga apa yang dia baca, jadi andaian kita tak boleh teruskan,” katanya.

Dalam laporan minggu lalu, Naib Ketua Pemuda Umno itu menamakan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkonspirasi terhadap Najib dan kerajaan.

Beliau mendakwa ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran.

Khairul juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka juga memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka.

Mengulas lanjut, ketua polis negara turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis sebarangan jika mereka tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

“Kalau tidak ada alasan-alasan yang kukuh, jangan buat sebarang tuduhan. Jadi kalau benda itu apa orang kata tidak berasas, buang masa kita saja,” katanya.

Khalid juga berkata pemimpin Pemuda Umno itu juga telah diberikan nasihat supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa depan jika tidak mempunyai fakta atau bukti.

Menjawab soalan wartawan, beliau berkata polis juga tidak akan memanggil ketiga-tiga ‘Tan Sri” berkenaan untuk dirakamkan kenyataan mereka.

“Tidak, kita tidak mahu membuang masa memanggil mereka apabila tidak ada asas untuk berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.