Alyaa Alhadjri
Himpunan Baju Merah yang diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar
Datuk Jamal Md Yunos hari ini didakwanya mempamerkan peserta berbilang
kaum yang terdiri daripada kira-kira 300 peserta Melayu termasuk puluhan
kaum India dan Cina.
Jamal mendakwa mereka yang hadir mewakili beratus NGO Melayu, India
dan Cina yang akan digerakkan untuk menghadapi Himpunan Bersih 5 tidak
lama lagi.
Bagaimanapun,
sesetengah daripada mereka yang hadir sidang akhbar gerakan itu di
perkarangan PWTC hari ini seolah-olah tidak tahu cerita sebenar.
Mereka yang ditemui Malaysiakini kebanyakannya mendakwa mereka berada di sana untuk menyokong 'keamanan, Jamal dan BN'.
Beberapa orang lain mendakwa mahu 'memusnahkan Bersih', meskipun tidak dapat menjelaskan perbezaan warna baju mereka.
Tidak ramai juga yang sedar mengenai saman difailkan Jabatan Keadilan
(DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang dibeli menggunakan wang
daripada dana 1MDB, yang menjadi sebab mengapa BERSIH 2.0 merancang
untuk mengadakan himpunan mereka.
Loh
Chan Soy berkata beliau datang dari Klang untuk hadir ke himpunan Baju
Merah, namun apabila ditanya mengapa dia datang, Loh berkata : "Susah
mau jawab. Kita datang harap aman saja."
Apabila ditanya adakah beliau faham maksud DOJ, Loh berkata "Saya tak tahu. Kita harap aman saja. Saya tak tahu."
Ditanya sama ada Malaysiakini boleh menemu bual rakan yang mengiringi beliau, Loh berkata, "Ini (kawan) lagi kurang tahu."
Seorang
lagi lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Raja Kamal turut
mengatakan "Saya tidak tahu" apabila ditanya mengenai perkara yang sama.
Beliau mendakwa antara 40 orang yang datang dari Sabak Bernam ke PWTC dengan menaiki sebuah bas.
Sementara itu peserta lain Sarimalinggam Doraisamy menegaskan mereka
bukan datang ke himpunan itu untuk 'membantah kerajaan Malaysia'.
"Kita datang bukan untuk bantah kerajaan Malaysia. Kita faham
isu...kita datang untuk bersatu dengan masyarakat," katanya yang
mendakwa mewakili Persatuan Kebajikan India Malaysia.
"Saya pun tak tahu apa maksud dia (DOJ)," sambil menambah beliau tahu mengenai 1MDB tetapi tidak pasti isu yang dibangkitkan.
Sementara itu Raziq Razihan, berkata beliau tidak mendengar ucapan
Jamal mengenai DOJ tetapi datang bersama kawan-kawannya dari Keramat
untuk menyokong beliau dan Barisan Nasional bagi "memusnahkan BERSIH."
Ketika ditanya mengapa beliau mahu 'memusnahkan BERSIH', remaja berusia 19 tahun itu berkata,
"Sebab dia colour (warna) kuning kita warna merah."
Jamal sebelum ini mendakwa BERSIH dan pembangkang berselindung di
belakang pelajar yang mengetuai perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur
semalam.
Beliau mendakwa pelajar dan peserta himpunan jahil terhadap saman
sivil DOJ dan dibayar oleh pembangkang untuk menghadiri perhimpunan itu.
Semalam, kira-kira 1,500 menyertai himpunan #TangkapMO1 untuk memberi
tekanan kepada pihak berkuasa supaya mengenal pasti, menyiasat dan
mendakwa individu yang disebut 36 kali dalam saman sivil DOJ.
Satu lagi Gerakan Merah yang diketuai Datuk Mohd Ali Baharom atau
lebih dikenali sebagai Ali Tinju membatalkan himpunan balas pada saat
akhir kerana mendakwa himpunan #TangkapMO1 adalah himpunan 'budak kecil'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.